AM

PENGURUSAN SISA TERJADUAL ISU KRITIKAL DI JOHOR

06/01/2026 12:01 PM

JOHOR BAHRU, 5 Jan (Bernama) -- Pengurusan sisa terjadual merupakan isu kritikal yang memerlukan perhatian serius Kerajaan Negeri Johor sejajar dengan pertumbuhan pesat industri dan pelaburan, khususnya dalam sektor minyak dan gas, petrokimia serta pembuatan.

Pengerusi Eksekutif Econas Resource To Energy Sdn Bhd (E2RE) Datuk Mohd Shafiee Mohd Sanip berkata sebagai antara negeri perindustrian terbesar negara, Johor berdepan risiko tinggi terhadap keselamatan awam dan alam sekitar sekiranya sisa berbahaya tidak diurus secara sistematik dan berdekatan dengan sumber penghasilannya.

“Johor mempunyai industri pembuatan aluminium, besi, petrokimia dan penapisan minyak yang secara langsung menghasilkan sisa terjadual. Jika pengurusan tidak dibuat dengan baik, impaknya bukan sahaja kepada alam sekitar, malah keselamatan awam,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini. 

ER2E terlibat dalam pengumpulan, rawatan, kitar semula, pemulihan dan pembuangan akhir sisa terjadual.

Beliau berkata walaupun rangka perundangan dan tahap pematuhan premis serta pengangkutan sisa terjadual di Malaysia adalah tinggi, kelemahan masih wujud dari sudut penguatkuasaan di lapangan, termasuk isu lebihan muatan lori dan kemalangan jalan raya.

Menurut beliau, kewujudan lebih banyak premis rawatan sisa terjadual yang bertauliah di Johor boleh mengurangkan risiko penghantaran jarak jauh melalui jalan awam, sekali gus meminimumkan potensi kemalangan dan pencemaran.

“Dulu mungkin tiada pilihan, tetapi sekarang pengilang mempunyai pilihan menggunakan premis berlesen yang lebih dekat. Mengapa perlu ambil risiko menghantar sisa ratusan kilometer melalui jalan awam?” katanya.

Beliau turut memberi perhatian kepada faktor infrastruktur jalan raya di Johor yang masih dalam fasa pembinaan atau naik taraf, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan pengangkutan sisa terjadual.

“Sebahagian lebuh raya di Johor masih separuh siap, laluan sempit dan berkongsi dengan kenderaan awam. Membawa bahan terjadual dalam keadaan ini amat berbahaya kerana sebarang kemalangan boleh mengundang risiko besar kepada pengguna jalan raya dan alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, penghantaran sisa berbahaya melalui jalan awam yang sesak, termasuk laluan utama yang sering berlaku kemalangan, tidak seharusnya menjadi pilihan sekiranya terdapat premis rawatan berlesen lebih dekat.

“Setiap minggu kita dengar kemalangan melibatkan lori. Bayangkan jika lori membawa bahan terjadual terbalik atau bocor di jalan awam. Impaknya bukan kecil, ia boleh menjejaskan orang ramai secara langsung,” katanya.

Beliau berkata faktor keselamatan awam wajar menjadi pertimbangan utama dalam perancangan pengurusan sisa terjadual selari dengan agenda kemajuan dan kelestarian Johor.

“Setiap proses penapisan atau penukaran bahan mentah pasti menghasilkan sisa. Jika tiada perancangan rapi, risiko pencemaran dan keselamatan akan meningkat. Bahan ini tidak boleh dilupuskan sewenang-wenangnya. Ia perlu dihantar ke premis rawatan yang sesuai dan berlesen,” katanya.

Mohd Shafiee berkata pada 2023 Malaysia merekodkan kira-kira tujuh juta tan sisa terjadual, dengan Johor menyumbang sekitar 25 peratus, sekali gus menjadikannya antara penyumbang tertinggi di negara ini.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Tabung Lestari Hijau Johor, dibiayai melalui sumbangan industri berisiko tinggi seperti kilang besi, petrokimia dan minyak, tanpa membebankan kewangan kerajaan atau pembayar cukai.

Beliau berkata sumbangan dibuat berdasarkan formula jelas seperti jumlah sisa dihasilkan, kapasiti pengeluaran atau pelepasan karbon, selari dengan pendekatan ‘polluter pays principle’ yang diamalkan di peringkat antarabangsa.

Katanya, dana tersebut boleh digunakan untuk membantu Jabatan Alam Sekitar yang sering berdepan kekangan kakitangan dan bajet, selain membiayai kerja pemulihan sekiranya berlaku pencemaran seperti insiden sungai tercemar atau pembuangan sisa haram.

“Bila berlaku pencemaran, kerajaan juga yang terpaksa keluarkan duit. Dengan tabung ini, kita ada dana siap sedia untuk pembersihan, pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

Mengambil iktibar insiden pencemaran Sungai Kim Kim, beliau berkata kegagalan mengurus sisa berbahaya bukan sahaja memberi kesan kesihatan kepada penduduk, malah memerlukan kos pembersihan yang tinggi.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan