KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 9.30 pagi tadi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.
Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff mengesahkan perkara itu menerusi makluman di saluran kumpulan media rasmi Dr M Media Updates di aplikasi WhatsApp hari ini.
Beliau berkata pemimpin berusia 100 tahun itu dikejarkan ke IJN oleh ambulans dan dilaporkan dalam keadaan sedar.
“Beliau telah terjatuh pada awal pagi tadi dan pada kebiasaannya, perkara itu memerlukan pemerhatian lanjut di hospital.
"Saya difahamkan beliau telah terjatuh ketika bergerak dari satu bahagian di balkoni rumah untuk ke ruang tamu,” katanya.
Sufi berkata keadaan terkini Dr Mahathir akan dimaklumkan selepas beliau selesai menjalani pemeriksaan oleh pakar IJN.
Bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu pernah dirawat di IJN pada 13 Julai tahun lepas akibat keletihan namun beliau telah dibenarkan keluar pada hari yang sama.
-- BERNAMA
