JOHOR BAHRU, 6 Jan (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan Kempen Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) 2026 bagi memperteguh budaya menabung menerusi ganjaran sebagai insentif kepada penyimpan dan orang ramai.
Ketua Eksekutif BSN Datuk Jay Khairil berkata kempen dari 1 Jan sehingga 31 Dis 2026 dengan nilai hadiah berjumlah RM28 juta disediakan untuk 16,000 penyimpan di seluruh negara.
Beliau berkata BSN SSP 2026 menawarkan struktur hadiah lebih menarik termasuk melahirkan 12 jutawan baharu, iaitu seorang setiap bulan menerusi Cabutan Jutawan BSN SSP.
“Pemenang jutawan yang diumumkan pada Disember 2026 akan menerima BSN SSP bernilai RM1 juta serta sebuah Porsche Macan tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya dalam kenyataan.
Jay berkata penyertaan Cabutan Jutawan Bulanan tertakluk kepada simpanan minimum RM3,000 yang dikekalkan selama 60 hari manakala bagi Cabutan Jutawan Disember 2026, simpanan minimum RM3,000 selama enam bulan diperlukan.
Beliau berkata pelancaran kempen itu turut dimeriahkan dengan penganjuran Karnival BSN SSP 2026 di Angsana Johor Bahru Mall dari 29 Dis 2025 hingga 4 Jan.
Karnival menampilkan pelbagai aktiviti mesra keluarga serta sesi interaksi bersama selebriti Mierul Aiman, Nadhir Nasar dan Fadhli Masoot dengan pemenang Cabutan Jutawan BSN SSP ke-119 diumumkan pada hari kemuncak penganjuran.
Dalam pada itu, Jay berkata sepanjang tahun ini, kempen tersebut turut menawarkan pelbagai kategori cabutan dengan hadiah yang lebih besar selain kadar keuntungan sehingga 2.5 peratus setahun.
Dengan simpanan serendah RM10, setiap penyimpan layak untuk penyertaan satu cabutan, menerusi kesemua cawangan BSN serta saluran digital termasuk myBSN, myBSN Mobile, ATM, CDM dan BSN CBB.
-- BERNAMA
