AM

RM100 JUTA TAMBAHAN BUKTI PENGIKTIRAFAN KERAJAAN TERHADAP PEKERJA GIG

06/01/2026 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Peruntukan tambahan RM100 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi pembiayaan latihan kemahiran dan perlindungan jaringan sosial pekerja gig mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan strategik sektor itu.

Melalui insentif tersebut, pekerja gig berharap peruntukan itu digunakan untuk kursus jangka pendek bagi meningkatkan latihan dan kemahiran teknikal selain sokongan psikologi kepada mereka yang sering berdepan cabaran kerja termasuk risiko keselamatan serta ketidaktentuan pendapatan.

Di TERENGGANU, pekerja e-panggilan Maxim Md Yassin Embong, 52, dari Kampung Teluk Pasu, berharap peruntukan itu digunakan untuk program perlindungan sosial dan keselamatan secara percuma.

Md Yassin, yang sudah lima tahun menceburi industri itu, berkata beliau membayar caruman tahunan sebanyak RM200 di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Di Terengganu, pendapatan pengusaha e-panggilan tidaklah sebesar pemandu di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dan boleh dikatakan pendapatan bersih saya setiap bulan antara RM2,000 hingga RM2,500.

"Inisiatif seperti caruman PERKESO percuma oleh kerajaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami yang terpaksa bekerja siang malam untuk meraih pendapatan lebih," katanya.

Bagi Lee Choon Beng, 46, yang bekerja sebagai penghantar makanan, peruntukan itu perlu disalurkan segera untuk menjamin kebajikan dan kelangsungan pekerja gig dalam jangka panjang termasuk menyediakan kursus kemahiran bersesuaian dengan pembangunan kerjaya. 

Di SARAWAK, Mohammad Naseem Razali, 27, yang berkhidmat sebagai pekerja gig lebih empat tahun, pula mencadangkan supaya dana itu digunakan untuk latihan komunikasi dan interaksi dengan orang ramai.

“Memandangkan tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia, mungkin ada keperluan juga untuk latihan dari segi interaksi dengan pelancong asing kerana kami adalah antara barisan hadapan yang menyambut pelancong,” katanya.

Selain itu, Mohammad Naseem berharap kerajaan dan syarikat pengendali mengambil langkah menambah baik sistem industri gig khususnya melibatkan struktur bayaran.

Di NEGERI SEMBILAN, pekerja e-panggilan Mohd Alias Abu Bakar, 34, menyokong peruntukan itu dan berkata ia mampu memberi manfaat kepada lebih ramai pekerja gig memandangkan kebanyakan mereka bukan daripada golongan berpendapatan tinggi. 

“Bantuan ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada kami dalam usaha meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan hidup pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, seorang penghantar makanan yang mahu dikenali sebagai Mustaqim, 26, pula berharap penerangan lanjut diberikan supaya bantuan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan tersebut.

Di SELANGOR, Ahmad Ashraf Che Razali, 31, berkata pengumuman Perdana Menteri semalam secara tidak langsung membina keyakinan bahawa industri itu mempunyai masa depan yang cerah.

“Pada masa sama, ia membolehkan pekerja menjadi lebih mahir selain dilindungi secara total ketika melaksanakan tugas di lapangan,” kata pekerja e-panggilan itu.

Bagi pemandu p-panggilan Muhammad Muzaimie Ahmat, 31, peruntukan tambahan itu sejajar dengan keperluan semasa memandangkan sektor e-panggilan dan p-panggilan kini dilihat sebagai tulang belakang kepada mobiliti serta ekonomi harian kebanyakan rakyat.

Di SABAH, penghantar GrabFood Mohd Jofri Moksin, 23, dari Penampang berkata insentif itu penting bagi memastikan negara mengoptimumkan potensi bakat sedia ada sekali gus menjadikan sektor gig sebagai platform persinggahan sebelum diserap dalam pasaran kerja lebih mampan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual dari Universiti Malaysia Sabah itu berpendapat graduan tidak boleh hanya bergantung kepada skrol kelulusan semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan terutama dalam pasaran kerja yang mencabar di Negeri Di Bawah Bayu.

Penghantar FoodPanda Ebi Farhan Ramlee, 25, dari Papar pula menyifatkan inisiatif peningkatan kemahiran amat relevan khususnya kepada graduan muda yang terpaksa menceburi bidang itu buat sementara waktu bagi membantu mereka beralih kepada pekerjaan dengan pendapatan lebih lumayan.

"Ramai rakan sekerja saya memiliki diploma dan ijazah namun mereka terpaksa melakukan kerja ini kerana kekurangan peluang pekerjaan tetap di Sabah.

“Jika bakat kami dikembangkan melalui latihan profesional, peluang untuk kami mendapat pekerjaan lebih baik itu tinggi," kata pemegang Diploma Pemasaran sebuah kolej swasta itu yang terlibat dalam sektor berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Di KEDAH, penghantar GrabFood Muhammad Izat Ahmad, 30, dari Alor Setar merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan tambahan itu yang membolehkan mereka meningkatkan perlindungan diri.

"Kami ini boleh dikatakan dalam kategori yang sentiasa terdedah dengan bahaya terutama kemalangan, jadi apabila kerajaan bantu, ini sedikit sebanyak mengurangkan kebimbangan kami untuk terus berkhidmat dalam sektor ini," katanya.

Sementara itu, Nor Azlina Kamaruddin, 26, dari Pendang yang bekerja sebagai penghantar barang sejak dua tahun lepas, berkata bidang e-panggilan dan p-panggilan sangat luas serta banyak yang boleh dipelajari sekiranya mendapat ilmu kemahiran tambahan.

"Latihan yang diberikan dapat menambah pengetahuan kami selain menguasai kemahiran yang dapat digunakan pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan