RAWANG, 6 Jan (Bernama) -- Penyedia penyelesaian bagi metal roofing (sistem bumbung logam) dan wall cladding (sistem pelapisan dinding) United Seasons Sdn Bhd (UniSon) hari ini diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records bagi penciptaan panel bumbung terpanjang berukuran 166.49 meter yang dipasang di Hab Rantaian Bekalan YLL di Sungai Buaya di sini.
Hab itu direka bagi menyokong operasi logistik berkapasiti tinggi yang memerlukan penyelesaian bumbung dengan rentangan panjang, ketahanan tinggi serta kecekapan operasi.
Pengurus Besar (Projek) UniSon Zaidi Semail berkata panel bumbung itu dihasilkan sebagai unit tunggal dan tanpa sambungan, direka khusus bagi menangani cabaran teknikal akibat keadaan cuaca di Malaysia termasuk peningkatan intensiti hujan sepanjang sedekad yang lalu.
Beliau berkata sistem bumbung satu panel mengurangkan risiko kebocoran dan memudahkan penyelenggaraan terutama bagi bangunan yang menempatkan peralatan sensitif seperti kemudahan pembuatan elektronik.
“Sijil yang diberikan hari ini adalah untuk bumbung terpanjang dalam satu bahagian... (sebelum ini), orang buat bumbung panjang tapi ada sambung-sambung... jadi, syarikat Malaysia Book of Records mengetahui bahawa bumbung (kami) telah diproduksi dalam satu bahagian, tidak ada sambungan.
“Sistem ini jarang-jarang dilakukan untuk projek yang besar. Jadi itulah sijil yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil itu di sini hari ini.
Rekod itu dicapai menggunakan Sistem Bumbung Standing Seam KAWA KZ400 yang diperbuat daripada keluli COLORBOND oleh NS BlueScope Malaysia, menandakan satu lagi pencapaian penting bagi industri pembinaan Malaysia serta menonjolkan kerjasama kukuh, kepakaran teknikal dan inovasi dalam penyelesaian bumbung berskala besar.
Selain NS BlueScope Malaysia, projek itu melibatkan ekosistem rakan kongsi yang mantap termasuk Akitek Akiprima Sdn Bhd, CK Building Solutions Sdn Bhd, WBL Perunding Sdn Bhd, JQS International Sdn Bhd dan HL Roofing Sdn Bhd, yang bekerjasama rapat dari peringkat reka bentuk dan perancangan sehingga pelaksanaan serta inovasi dalam penyelesaian bumbung.
Dengan rangkaian lengkap profil bumbung logam dan pelapisan dinding, UniSon menyokong pelbagai reka bentuk, daripada aplikasi konvensional hinggalah kepada keperluan seni bina yang kompleks, menggunakan bahan seperti COLORBOND, ZINCALUME, VERMOE dan PRIMAMAJU.
Sementara itu, Pengarah Urusan UniSon P. Dhanabalan berkata pencapaian tersebut turut dibezakan oleh kaedah pemasangan di mana panel bumbung dibentuk terus di aras bumbung, membolehkan ketepatan, kecekapan dan kualiti pemasangan yang lebih tinggi, sambil mengurangkan pengendalian dan risiko kerosakan.
"Pencapaian UniSon ini telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records, menandakan kejayaan bukan sahaja untuk syarikat kami tetapi juga bagi Malaysia bersama-sama rakan kongsi dan pelanggan dalam memajukan pembangunan panel bumbung,” katanya.
Pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records mengetengahkan keupayaan industri yang semakin berkembang untuk melaksanakan projek berskala besar dan kompleks sambil menekankan kepentingan kerjasama, kualiti kerja yang tinggi serta perkongsian yang dipercayai sepanjang rantaian nilai pembinaan.
-- BERNAMA
