KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan terus memantau landskap geopolitik global dari perspektif ekonomi untuk menilai potensi impaknya terhadap pergerakan harga minyak, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata meskipun terdapat konflik global yang berterusan kerajaan tetap yakin dapat mencapai sasaran fiskal yang ditetapkan dalam Belanjawan 2026.
“Apa yang kerajaan lakukan di bawah pembaharuan fiskal adalah kita secara beransur-ansur mengurangkan pergantungan terhadap hasil berkaitan minyak untuk tujuan fiskal.
“Tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa kita tidak dapat mencapai matlamat Belanjawan 2026,” katanya kepada pemberita di luar acara Hari Korporat Tahunan ke-18 CGS International 2026, di sini, hari ini.
Terdahulu, semasa sesi sembang santai bertajuk “Mengimbangi pertumbuhan, fiskal dan global”, Johan berkata kerajaan yakin dapat mencapai defisit fiskal yang disasarkan sebanyak 3.8 peratus untuk 2025.
Beliau berkata terdapat ruang untuk peningkatan sederhana, dengan defisit berpotensi mengecil kepada 3.7 peratus, bergantung kepada data pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2025.
"Apabila kita menyemak semula anggaran pertumbuhan kita pada Julai tahun lepas kepada antara 4 dan 4.8 peratus, ia banyak berdasarkan kepada (prestasi) separuh pertama dengan pertumbuhan 4.4 peratus bagi dua suku pertama.
"Manakala pertumbuhan suku ketiga pada 5.2 peratus sememangnya satu kejutan yang positif. Dengan mengandaikan momentum berterusan pada suku keempat, diharapkan kita berada pada julat yang lebih tinggi, mungkin pada 4.8 peratus.
“Memandangkan denominator berpotensi tinggi sedikit daripada yang kita unjurkan semasa kita menyediakan belanjawan, mungkin terdapat potensi peningkatan agak sederhana daripada 3.8 peratus kepada 3.7 peratus (defisit fiskal),” katanya.
Johan berkata demikian sebagai menjawab soalan semasa sesi tersebut yang bertanyakan sama ada kerajaan berada di landasan untuk mencapai sasaran defisit fiskal 3.8 peratus bagi 2025.
“Saya baru sahaja mengesahkan bahawa kita sepatutnya berada di landasan yang betul untuk 3.8 peratus. Beliau (moderator) bertanya soalan teori — jika pertumbuhan lebih tinggi, itu adalah matematik.
“Tetapi saya fikir perkara utama ialah kerajaan yakin kita akan mencapai sasaran 3.8 peratus (defisit fiskal) bagi 2025,” katanya.
-- BERNAMA
