PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Ketidaktentuan geopolitik global termasuk ketidakstabilan harga minyak dan sumber asli melibatkan negara seperti Iran dan Venezuela, perlu diberi perhatian serius ketika Malaysia bersiap menghadapi cabaran ekonomi menjelang 2026, menurut Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata bagi tahun ini, geopolitik merupakan satu cabaran yang perlu diambil kira dan kebanyakan pihak masih menilai kesan perkembangan terkini melibatkan isu Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela, termasuk implikasinya terhadap ekonomi global.
“Saya fikir semua masih menunggu untuk melihat kesan daripada kejadian itu… jadi saya rasa kebanyakan orang masih cuba memahami implikasi daripada kejadian sedemikian.
“Tetapi, bagi kementerian kami, sudah tentu tumpuan adalah untuk memastikan pelan lima tahun - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilaksanakan dan kami mesti menumpukan perhatian kepada pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Menteri Ekonomi Tahun 2026 di sini hari ini.
Mengulas sama ada Kementerian Ekonomi dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan terus memantau situasi berkaitan Venezuela memandangkan kesan jangka panjangnya, Akmal Nasrullah berkata perkembangan geopolitik itu sememangnya sedang diperhatikan.
“Semua orang memantau. Ini adalah sesuatu yang perlu dilihat. Geopolitik merupakan cabaran yang perlu kita hadapi pada 2026,” katanya.
Akmal Nasrullah menegaskan tumpuan Kementerian Ekonomi adalah untuk memastikan asas ekonomi negara terus diperkukuh melalui pelaksanaan pelan pembangunan jangka panjang kerajaan.
“Bagi Malaysia, kita perlu fokus untuk memperkukuh penyampaian ekonomi, sama ada melalui pelan kerajaan seperti RMK-13, serta memastikan semua pelan lain yang telah dirangka seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan lain-lain dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata aspek pelaksanaan juga akan menjadi keutamaan kementerian.
Menjawab soalan berhubung keutamaan projek-projek kecil di bawah agenda Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Akmal Nasrullah berkata kementeriannya tidak melihat projek semata-mata berdasarkan senarai, sebaliknya berpandukan kepada sasaran dan objektif yang ingin dicapai.
“Kementerian Ekonomi melihat rancangan lima tahun bukan hanya bersandarkan senarai projek semata-mata. Kita ada sasaran dan objektif yang cuba dicapai. Daripada sasaran itu, kita zahirkan inisiatif dan seterusnya menyusun projek,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut memberi penekanan kepada projek berskala kecil untuk memastikan manfaatnya dapat dirasai secara meluas oleh rakyat.
“Sebab itu, dalam memastikan pelaksanaan projek yang disusun oleh kerajaan, kita bukan hanya melihat kepada projek berimpak tinggi, tetapi juga memastikan hasilnya dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Merujuk kepada insiden bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, Akmal Nasrullah berkata projek kecil termasuk kerja-kerja membaik pulih infrastruktur adalah penting dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk memastikan pelaksanaannya tidak tertangguh.
“Kita tidak mahu sekadar permulaan atau pengumuman. Kita perlu pastikan pelaksanaan, kerana bila bercakap soal pelaksanaan, kita memerlukan pemahaman dan kerjasama daripada pelbagai pihak,” katanya.
-- BERNAMA
