POLITIK

KUSKOP MULA SIRI LIBAT URUS PMKS, TUMPU CABARAN KOMUNITI PERNIAGAAN

07/01/2026 06:51 PM

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim hari ini memulakan siri mesyuarat libat urus pertama bagi 2026 bersama pemain industri dan pemegang taruh sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Mesyuarat berkenaan melibatkan pemimpin tujuh persatuan perniagaan utama iaitu Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Gabungan Persatuan Perniagaan Malaysia, Persatuan Pengurusan Kompleks, Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia, Persatuan Rakan Industri Dalaman Malaysia, Persatuan Penjual Buku Malaysia dan SME Association of Malaysia.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemimpin persatuan perniagaan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lepas, khususnya berkaitan inisiatif pemerkasaan PMKS tempatan bernilai RM 80 bilion.

“Pertemuan tersebut turut membincangkan cabaran yang selama ini membelenggu komuniti perniagaan di Malaysia termasuk akses kepada capaian modal, kerenah birokrasi serta ekosistem ekonomi yang lebih kondusif.

“Menteri turut menegaskan bahawa segala kebimbangan dan cabaran yang dibangkitkan adalah selari dengan Strategi ABCD yang diperkenalkan olehnya merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran,” menurut KUSKOP.  

Sim semalam dilaporkan berkata inisiatif bernilai hampir RM 80 bilion itu berfungsi sebagai suntikan sokongan kepada sektor PMKS khususnya dalam meningkatkan kecairan aliran tunai dan memastikan kesinambungan operasi perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan