AM

AGONG DIPERSEMBAH TAKLIMAT PERANCANGAN KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

07/01/2026 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima mengadap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dilantik menjawat jawatan itu pada 16 Dis.

Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan berlangsung di Istana Bukit Tunku di sini dan Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai perancangan serta hala tuju strategik Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Hadir sama pada sesi itu ialah Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menzahirkan pandangan serta nasihat agar setiap perancangan dilaksanakan dengan penuh integriti, berteraskan tadbir urus yang baik serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dalam rombakan kabinet diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima mengadap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong.

Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda dipersembahkan taklimat mengenai perancangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) termasuk usaha memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sultan Ibrahim turut bertitah PMKS merupakan antara tunjang utama dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat selain memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan isi rumah.

“Sehubungan itu sokongan berterusan daripada kerajaan dan agensi berkaitan penting bagi memastikan PMKS kekal berdaya saing serta mampan dalam jangka panjang,” titah Seri Paduka Baginda.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan