NILAI, 7 Jan (Bernama) -- Polis menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan kes penderaan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata tangkapan ke atas ibu kandung, 30, dan bapa tiri berusia 22 tahun kepada kanak-kanak berkenaan dilakukan pada 1.58 tengah hari selepas mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.
Beliau berkata kes tersebut terbongkar semalam apabila seorang penghantar makanan menjumpai kanak-kanak berkenaan dalam keadaan terbiar, ketakutan dan menggigil di luar sebuah premis kedai serbaneka di Star Valley Nilai pada 5.30 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis.
"Pemeriksaan awal mendapati terdapat unsur kecederaan disyaki akibat penderaan pada beberapa bahagian tubuh mangsa. Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut.
"Siasatan lanjut turut mendapati kanak-kanak berkenaan pernah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor pada 2020 selepas mengalami kecederaan non-accidental injury berupa kesan melecur akibat terkena air panas di bahagian kepala, bahu kanan, dada dan belakang badan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda dan atau penjara, jika sabit kesalahan.
Johari berkata polis memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan perbuatan tersebut.
-- BERNAMA
