AM

KPT PANTAU PROJEK ASRAMA BAHARU RM39 JUTA DI POLITEKNIK SANDAKAN SABAH

12/01/2026 05:09 PM

SANDAKAN, 12 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memantau rapi projek pembinaan dua blok asrama baharu di Politeknik Sandakan Sabah (PSS) bernilai RM39 juta bagi memastikan ia siap mengikut jadual pada September 2027.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata projek melibatkan pembinaan asrama lelaki dan perempuan itu akan menyediakan kapasiti tambahan sebanyak 700 pelajar, sekali gus menyelesaikan isu kekurangan penempatan di institusi berkenaan.

Beliau berkata setakat ini kemajuan pembinaan mencatat 12 peratus walaupun berlaku sedikit kelewatan kira-kira 20 hari akibat faktor cuaca.

“Kami dapati kemajuan projek berada pada tahap yang baik, meskipun terdapat sedikit kelewatan disebabkan hujan.

“Namun, kami ingin pastikan supaya projek ini tidak tergendala akibat faktor teknikal lain,” katanya selepas meninjau tapak projek berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Anesee Ibrahim dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin. 

Dalam pada itu, Zambry berkata KPT turut mengambil inisiatif menangani infrastruktur lama di politeknik berusia 17 tahun itu, khususnya melibatkan sistem paip dan tekanan air bagi memastikan kemudahan berkenaan berfungsi dengan baik apabila asrama baharu siap kelak.

Beliau berkata kemajuan projek akan dipantau oleh unit pemantauan di peringkat Politeknik dan kementerian bagi memastikan kerja-kerja pembangunan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan