TAPAH, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak bersetuju menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) namun kajian menyeluruh masih diperlukan bagi menentukan kaedah serta penguatkuasaan yang sesuai sebelum dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata pihaknya akan meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperincikan perkara itu dalam sesi libat urus yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“Secara prinsipnya, Perak bersetuju (menerima pakai) walaupun kita bukan negeri yang menguatkuasakan Akta 672 sebelum ini.
“Hal ini kerana kita perlu bergerak ke arah penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat bagi membendung isu berlarutan seperti pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab dan masalah kebersihan awam,” katanya.
Ng berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pewartaan Semula Rancangan Perkampungan Tersusun Bekas Perajurit Bidor di Dewan Taman Sri Bidor dekat sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya berharap satu konsensus antara KPKT dan kerajaan negeri akan dicapai bagi memastikan pelaksanaan akta berkenaan berjalan lancar.
“Kalau negeri yang memang mengguna pakai Akta 672, mereka tiada masalah sebab kerangka untuk melaksanakan akta itu telah ada. Jadi seperti Perak yang tiada, kita sememangnya mengharapkan kerjasama daripada KPKT untuk memastikan ia berjalan lancar,” katanya.
Pada 2 Jan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memaklumkan negeri yang tidak mengguna pakai Akta 672 diberi tempoh enam bulan untuk mencari jalan mengadakan kerjasama strategik supaya Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) untuk kesalahan membuang sampah kecil dapat dilaksanakan.
-- BERNAMA
