AM

PENANTIAN LEBIH 30 TAHUN BERAKHIR, NAMA RPT PERAJURIT BIDOR DIKEMBALIKAN

12/01/2026 10:03 PM

TAPAH, 12 Jan (Bernama) -- Penantian lebih 30 tahun penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Perajurit Bidor berakhir apabila Kerajaan Negeri Perak memuktamadkan penggunaan nama rasmi RPT Perajurit Bidor (Taman Sri Bidor) bagi penempatan berkenaan yang sebelum ini turut dikenali sebagai Taman Sri Bidor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata keputusan itu sekali gus menamatkan kekeliruan berpanjangan susulan penggunaan dua nama berbeza dalam urusan pentadbiran oleh penduduk di situ yang merupakan pesara tentera.

“Tanah ini merupakan kurniaan Sultan Perak kepada bekas anggota tentera pada 1987 dan dibangunkan sebagai skim perumahan pada awal 1990-an, namun selepas pelaksanaan taksiran bermula pada 1994 nama Taman Sri Bidor telah digunakan dalam sebahagian urusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Perbezaan ini telah menimbulkan kekeliruan berpanjangan khususnya apabila hak milik tanah menggunakan nama RPT Perajurit Bidor manakala urusan alamat, cukai, utiliti dan dokumentasi rasmi lain menggunakan nama Taman Sri Bidor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pewartaan Semula Rancangan Perkampungan Tersusun Bekas Perajurit Bidor di Dewan Taman Sri Bidor dekat sini hari ini.

Ng berkata pendekatan itu bukan sahaja memelihara nilai sejarah dan identiti penempatan berkenaan, malah memastikan keseragaman alamat serta kelancaran urusan pentadbiran pada masa mendatang.

Beliau berkata keputusan yang dibuat itu juga adalah sebagai satu pengiktirafan kepada bekas tentera yang selama ini berjuang dan berkorban nyawa demi kedaulatan negara.

“Perkara yang kita capai ini bukan dibuat sesuka hati, sebaliknya selepas penelitian dari sudut sejarah, perundangan dan pentadbiran, selain mengambil kira pandangan serta keperluan penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Ng berkata beliau turut menghargai usaha dan peranan yang dimainkan semua pihak termasuk Majlis Daerah Tapah, Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi berkaitan bagi merealisasikan perkara tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Perak Mazlan Umar berkata penamaan semula RPT Perajurit Bidor (Taman Sri Bidor) membuktikan usaha yang dilakukan sebelum ini membuahkan hasil dan dianggap sebagai satu penghormatan kepada bekas anggota yang menetap di situ.

“Kita jumpa Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada April tahun lepas dan di situ kami ceritakan masalah yang berlaku disertakan dengan bukti berkaitan. Alhamdulillah, selepas pertemuan itu dan disusuli dengan beberapa perbincangan nama RPT Perajurit Bidor itu dikembalikan,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata ketika ini sebanyak 50 pesara tentera berusia lingkungan 60 hingga 70 tahun masih menghuni kawasan seluas 0.8 hektar itu.

 -- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan