KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye selama tiga hari baru-baru ini menyaksikan penyesuaian semula strategik yang penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan republik itu.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) Datuk Profesor Dr Mohd Faiz Abdullah berkata lawatan itu telah meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian lebih tersusun, berjangka panjang yang berpaksikan kepada kepentingan bersama dan perspektif global yang dikongsi bersama.
Beliau berkata lawatan itu juga menggariskan hasrat Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dengan Turkiye merentasi sektor utama termasuk perdagangan, pertahanan, keselamatan, teknologi serta tadbir urus, sambil mengekalkan dasar luar Malaysia sejak sekian lama iaitu berkecuali secara aktif dan mengekalkan hubungan seimbang dengan kuasa besar.
“Ini bukan peralihan daripada dasar luar Malaysia yang berkecuali secara aktif, sebagaimana diperjelas oleh Anwar melalui penekanan kepada hubungan seimbang dengan Amerika Syarikat dan China, sambil memperkukuh hubungan dengan Turkiye,” katanya kepada Bernama.
Mohd Faiz berkata antara hasil utama lawatan itu ialah penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi Malaysia-Turkiye (HLSCC), yang merasmikan penglibatan dua hala di peringkat tertinggi dan menandakan peralihan daripada kerjasama bersifat sementara kepada perkongsian strategik yang lebih terancang dan berinstitusi.
Beliau berkata dari sudut perdagangan dua hala, Malaysia dan Turkiye telah menetapkan hala tuju yang bercita-cita tinggi, dengan sasaran USD10 bilion pada 2026, peningkatan besar berbanding USD4.92 bilion yang dicatat antara Januari dan November 2025.
“Pertumbuhan ini dijangka dipacu oleh sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan, pusat data, tenaga, peralatan elektrik dan elektrikal maju, komoditi pertanian, produk makanan halal serta nadir bumi dari Malaysia.
“Di pihak Turkiye, terdapat pembuatan pertahanan maju, automotif dan pembinaan, penyelidikan dan pembangunan, pendidikan tinggi serta reka bentuk industri,” katanya sambil menekankan persahabatan antara Anwar dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang telah lama terjalin.
Mohd Faiz berkata beliau yakin bahawa dengan penubuhan HLSCC, perolehan pertahanan dan perjanjian lain, Malaysia sudah memiliki mekanisme bagi meneroka peluang selanjutnya bagi menggandakan jumlah perdagangan.
“Meskipun ia adalah satu cabaran besar, sasaran USD10 bilion bukan sekadar angan-angan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Faiz berkata kerjasama pertahanan merupakan antara bidang pertumbuhan utama termasuk peluang untuk pemindahan teknologi, pengeluaran bersama dan perolehan, sambil menekankan bahawa perkembangan eksport pertahanan Turkiye boleh terus memperkukuh hubungan keselamatan dua hala.
Selain perdagangan dan pertahanan, beliau berkata Malaysia dan Turkiye berkongsi pendirian serupa mengenai isu global seperti menghormati kedaulatan, keadilan di bawah undang-undang antarabangsa, pembangunan mampan dan perubahan iklim serta penentangan terhadap penggunaan hak asasi manusia secara terpilih.
Menyentuh mengenai peranan diplomasi Track Two yang semakin berkembang, Mohd Faiz merujuk kepada memorandum persefahaman yang dimeterai antara ISIS Malaysia dan badan pemikir terkemuka Turkiye iaitu Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) bagi meningkatkan kerjasama dalam penyelidikan strategik, dialog dasar serta pertukaran pakar.
Beliau juga berkata syarahan umum Anwar bertajuk Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Turkiye mencerminkan keselarasan kedua-dua negara dalam isu utama antarabangsa seperti keperluan menegakkan keadilan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam hal ehwal global.
Secara keseluruhan, katanya, lawatan itu mewakili penyusunan semula yang strategik dalam hubungan Malaysia-Turkiye sekali gus meletakkan asas kukuh bagi kerjasama geopolitik dan geoekonomi berterusan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka panjang.
-- BERNAMA
