MELAKA, 13 Jan (Bernama) -- Bekas Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Serantau Muslim Mohd Hakim Mohd Nor didakwa lagi, kali ini di Mahkamah Sesyen Melaka di sini hari ini atas enam pertuduhan menyalahgunakan harta milik pertubuhan itu.
Mohd Hakim, 39, didakwa telah menyalahgunakan wang derma bantuan bagi misi kemanusiaan yang dikutip pertubuhan itu dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin berjumlah RM576,995.40.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan
Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di sebuah bank, Cawangan Merlimau, Jasin antara Jun 2019 hingga Mei 2021 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan tidak lebih lima tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa' Zamri mencadangkan jaminan RM200,000 dengan mengambil kira keseriusan kesalahan itu.
Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff memohon jaminan dikurangkan antara RM20,000 hingga RM30,000 memandangkan anak guamnya telah didakwa semalam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selain bakal penjamin adalah isterinya yang berpendapatan RM1,500 sebulan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM35,000 terhadap Mohd Hakim dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Lelaki itu juga dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak esok berkaitan kes sama.
Semalam, Mohd Hakim dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan menyalahgunakan wang derma bantuan misi kemanusiaan berjumlah RM207,000, tujuh tahun lepas.
-- BERNAMA
