KOTA BHARU, 13 Jan (Bernama) -- Kakak kepada Allahyarham Mohamed Saiful Kamaruzaman, yang maut dalam kemalangan di Gua Musang hari ini, Siti Sarah Kamaruzaman, 39, tidak menyangka pertemuan dua minggu lepas dengan adiknya ialah pertemuan terakhir.
Katanya, Mohamed Saiful yang merupakan petugas pengisian bahan api kapal terbang di sebuah syarikat pembekal bahan api, kelihatan seperti biasa ketika mereka bertemu dan tidak menunjukkan sebarang perubahan yang mencurigakan.
"Pada masa itu, kami berkumpul bersempena dengan majlis perkahwinan sepupu serta makan malam bersama-sama keluarga. Ketika itu, Epul (gelaran kepada arwah) tidak menunjukkan sebarang perubahan," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Anak Sungai, Pengkalan Chepa, di sini malam ini.
Beliau berkata lazimnya, Mohamed Saiful akan menaiki kapal terbang untuk menjalani kursus di ibu negara, namun kali ini arwah menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena bersama dengan rakan sekerja dan sepatutnya pulang pada Jumaat ini sebaik tamat kursus berkenaan.
"Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Keranji, Simpang 3, Pengkalan Chepa, pada 10 pagi esok," katanya.
Sementara itu, bapa mentua kepada Allahyarham Nik Azmi Nik Othman, Mat Jusoh Muda, 76, berkata kali terakhir dia berjumpa menantunya itu pada minggu lepas yang pulang ke rumahnya di Felda Chiku 3, Gua Musang.
"Ketika itu arwah tidak banyak bercakap seperti selalu dan tergesa-gesa ingin pulang.
"Namun, pada petang tadi saya mendapat panggilan daripada anak, iaitu isteri kepada arwah, Siti Safila Mat Jusoh, 40, yang menangis teresak-esak memaklumkan bahawa Nik Azmi telah meninggal dunia akibat kemalangan," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari tadi, tiga lelaki maut, manakala tiga lagi cedera parah termasuk seorang wanita dalam kemalangan di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang–Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata tiga mangsa yang maut ialah Nik Razizi Nik Rahim, 55, Nik Azmi, 47, dan Mohamed Saiful, 33.
-- BERNAMA
