AM

KAJIAN EIA, SIA JADI KEUTAMAAN DALAM PEMINDAHAN LADANG TERNAKAN BABI - AMIRUDIN

13/01/2026 01:57 PM

SHAH ALAM, 13 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan menjadikan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) sebagai keutamaan dalam operasi penternakan babi yang bakal dipindahkan segera ke Bukit Tagar, Hulu Selangor. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebarang tapak pemindahan tetap perlu melalui proses EIA serta penilaian sistem kumbahan bagi memastikan ia tidak menjejaskan sungai dan kawasan persekitaran.

“Kita mahu pastikan sistem kumbahan itu boleh berdiri sendiri tidak dilepaskan ke sungai dan tidak memberi risiko kepada alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya aktiviti penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan secara beransur-ansur dan operasinya dipindahkan ke Bukit Tagar mengikut perancangan serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.

Amirudin berkata kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Selangor untuk mempercepatkan proses penutupan penternakan tradisional yang tercemar, walaupun perancangan awal melibatkan tempoh pemindahan selama tiga tahun.

“Titah Tuanku jelas, tidak mahu konsep mega atau eksport, sebaliknya menumpukan kepada penutupan operasi yang mencemar dan memenuhi keperluan tempatan sahaja. Insya-Allah kita akan laksanakan dengan segera dan sebaik mungkin.

“Setakat ini, kita telah mengenal pasti 69 pengusaha yang masih aktif. Lesen selebihnya telah pun ditarik balik sebelum ini dan kita akan keluarkan mereka secepat mungkin kerana selagi kawasan itu tidak ditutup, selagi itulah pencemaran daripada penternakan tradisional berterusan. Sebab itu langkah awal kita adalah menamatkan pengurusan tradisional dan beralih kepada penternakan moden,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan data awal daripada Jabatan Veterinar menunjukkan jumlah ternakan sedia ada dianggarkan 100,000 hingga 120,000 ekor, yang hanya memenuhi kira-kira 30 peratus keperluan tempatan.

“Tuanku menitahkan supaya kajian lebih terperinci dibuat dan kita akan melantik badan bebas untuk menilai keperluan sebenar, termasuk permintaan pasaran,” katanya yang turut menjelaskan operasi ladang tersebut tidak akan diperluaskan atau dibesarkan dan hanya bertujuan memenuhi keperluan tempatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan