DUNIA

HASIL IMEJ AI LUCAH AKAN DIJADIKAN KESALAHAN JENAYAH DI UK

13/01/2026 05:22 PM

LONDON, 13 Jan (Bernama-Anadolu) -- Kerajaan United Kingdom (UK) akan memperkenalkan kesalahan jenayah baharu minggu ini menyasarkan penghasilan imej intim tanpa persetujuan, kata Setiausaha Teknologi Liz Kendall pada Isnin, di tengah-tengah kebimbangan mengenai kandungan deepfake kecerdasan buatan (AI).

Menurut Anadolu Ajansi, langkah itu susulan penyiasatan ke atas chatbox AI milik X, Grok yang digunakan untuk menjana imej seksual individu tanpa kebenaran mereka.

Platform X milik bilionair Elon Musk, kini dikehendaki menurunkan kandungan deepfake di bawah undang-undang UK dan Kendall menyifatkan imej lucah ciptaan Grok itu sebagai senjata untuk eksploitasi.

Beliau memberitahu wakil rakyat: “Di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, berkongsi imej intim tanpa persetujuan seseorang atau mengugut untuk menyebarkannya, termasuk imej individu memakai hanya pakaian dalam merupakan kesalahan jenayah bagi individu dan platform.

“Akta Data yang diluluskan tahun lepas, menjadikannya satu kesalahan jenayah untuk mencipta atau meminta penghasilan imej intim tanpa persetujuan. Hari ini saya mengumumkan kepada Dewan bahawa kesalahan ini akan dikuatkuasakan minggu ini dan saya juga akan menjadikannya sebagai kesalahan utama dalam Akta Keselamatan Dalam Talian," tambahnya.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan