DUNIA

XABI ALONSO TINGGALKAN REAL MADRID KURANG LAPAN BULAN BERKHIDMAT

13/01/2026 05:27 PM

LONDON, 13 Jan (Bernama-PA Media/dpa) -- Xabi Alonso meninggalkan Real Madrid atas persetujuan bersama selepas kurang lapan bulan menggantikan Carlo Ancelotti sebagai ketua jurulatih, menurut PA Media/dpa.

Alonso mula menerima tekanan hujung tahun lepas dan pasukan bola sepak gergasi itu mengumumkan keputusan tersebut selepas kekalahan kepada seteru utama mereka Barcelona dalam Piala Super Sepanyol di Arab Saudi, Ahad lepas.

Menurut kenyataan kelab: “Real Madrid CF mengumumkan bahawa, dengan persetujuan bersama antara kelab dan Xabi Alonso, diputuskan tempohnya sebagai jurulatih pasukan utama ditamatkan.

“Xabi Alonso akan sentiasa dekat di hati serta dihormati semua penyokong Madrid kerana beliau merupakan legenda Real Madrid dan sentiasa mewakili nilai-nilai kelab kami. Sentiasa ada tempat untuk beliau di Real Madrid.”

“Kelab kami berterima kasih kepada Xabi Alonso dan seluruh pasukan teknikalnya atas usaha dan dedikasi selama ini, dan kami mengucapkan selamat maju jaya dalam menempuh fasa baharu kehidupan mereka.”

Real Madrid menamatkan La Liga sebagai naib johan musim lepas dengan empat mata di belakang Barcelona dan tewas kepada pasukan kendalian Hansi Flick dalam Piala Super Sepanyol untuk tahun kedua berturut-turut pada Ahad.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan