DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI SUSULAN SENTIMEN KUKUH SERANTAU

13/01/2026 07:33 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup kukuh melonjak kepada 1,708.20, paras tertingginya dalam tempoh lebih enam tahun, disokong oleh sentimen serantau yang positif susulan kenaikan di Wall Street dan minat belian asing yang berterusan.

Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.76 mata atau 0.75 peratus daripada paras penutup 1,695.44 pada Isnin. Indeks itu melepasi paras tertingginya sebelum ini iaitu pada 1,707.73 yang direkodkan pada 28 Februari 2019.

Indeks utama itu dibuka tinggi naik 5.30 mata kepada 1,700.74, sebelum susut ke paras terendah intra hari pada 1,698.79 pada awal dagangan. Namun indeks itu meningkat kembali menjelang sesi penutup dagangan. 

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 542 berbanding 536, manakala 550 kaunter tidak berubah, 1,010 tidak diniagakan dan 12 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.41 bilion unit bernilai RM3.55 bilion daripada 3.09 bilion unit bernilai RM2.72 bilion pada Isnin.

Penganalisis berkata kejayaan FBM KLCI melepasi paras 1,700, yang kali pertama dicapai pada 2013 dan kali terakhir dilihat pada Februari 2019 itu menandakan pasaran kembali semula kepada penilaian seperti sebelum pandemik, yang mencerminkan pemulihan kukuh berterusan dan prospek ekonomi Malaysia yang semakin baik.

Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata kejayaan ini dicapai tidak sampai empat bulan selepas indeks itu kembali mencecah paras 1,600 yang sekali gus menandakan peningkatan keyakinan pelabur dan penglibatan semula modal dengan ekuiti Malaysia.

"Kenaikan sektor hari ini jelas dipacu oleh domestik. Saham pengguna dan utiliti menerajui kenaikan, mencerminkan permintaan isi rumah yang berdaya tahan dan aliran tunai terkawal yang stabil, manakala saham tenaga rendah meskipun harga minyak mentah yang tinggi.

“Harga minyak meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan tarif 25 peratus ke atas mana-mana negara yang berdagang dengan Iran, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Tehran susulan tindakan keras kerajaan negara itu terhadap gelombang bantahan rakyat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau juga ditutup lebih tinggi, apabila saham teknologi meningkat berikutan keyakinan berterusan terhadap kecerdasan buatan (AI).

“Kami kekal yakin terhadap pasaran tempatan dengan kembalinya pembelian asing, yang telah membantu mengukuhkan keyakinan secara keseluruhan dan menyokong peningkatan indeks petunjuk pasaran ketika ini.

"Minat belian terus disokong oleh saham mewah manakala sentimen semakin meningkat di seluruh pasaran. Kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran berada dalam jajaran 1,690-1,720 sepanjang minggu ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 12 sen kepada RM11.06, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.64, CIMB menokok 17 sen kepada RM8.38, Tenaga Nasional menambah 20 sen kepada RM13.80, manakala IHH turun satu sen pada RM8.54.

Dalam kalangan saham paling aktif, MMAG susut setengah sen kepada 5.5 sen, Semico melonjak 12.5 sen kepada 37.5 sen, IJM Corp turun satu sen kepada RM2.74, Zetrix AI berkurangan 2.5 sen kepada 82 sen, dan Tanco menambah dua sen kepada RM1.21.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Hong Leong Industries melonjak 34 sen kepada RM17.00, Batu Kawan menambah 22 sen kepada RM20.30, Spritzer naik 20 sen kepada RM3.02, PMB Technology meningkat 17 sen kepada RM1.46 dan Bursa Malaysia menokok 16 sen kepada RM8.60.

Dalam kalangan saham paling rugi, United Plantation turun 10 sen kepada RM34.0, Fraser & Neave susut 66 sen kepada RM36.0, Petronas Dagangan berkurangan 48 sen kepada RM20.22, Southern Acids turun 21 sen kepada RM3.18, dan Nestle susut 20 sen kepada RM119.80.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 59.64 mata kepada 12,590.41, Indeks FBM Top 100 naik 65.38 mata kepada 12,384.97, manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 2.05 mata kepada 12,314.82.

Indeks FBM Mid 70 susut 29.37 mata kepada 17,527.81 manakala Indeks FBM ACE turun 22.51 mata kepada 4,982.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 232.06 mata kepada 20,418.32, Indeks Tenaga meningkat 1.74 mata kepada 786.21, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.88 mata kepada 173.85, manakala Indeks Perladangan berkurangan 99.60 mata kepada 8,560.68.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.64 bilion unit bernilai RM3.13 bilion daripada 1.67 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.07 bilion unit bernilai RM149.41 juta daripada 918.93 juta unit bernilai RM123.27 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 690.46 juta unit bernilai RM263.54 juta daripada 501.69 juta unit bernilai RM170.29 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 238.76 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (276.50 juta), pembinaan (225.03 juta), teknologi (204.67 juta), perkhidmatan kewangan (176.66 juta), hartanah (174.37 juta), perladangan (32.84 juta), amanah pelaburan hartanah (20.92 juta), dana tertutup (41,100), tenaga (97.99 juta), penjagaan kesihatan (109.45 juta), telekomunikasi dan media (22.04 juta), pengangkutan dan logistik (32.58 juta), utiliti (37.07 juta), dan amanah perniagaan (5,600).

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan