ARAU, 13 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melaksanakan 12 program untuk meningkatkan kemudahan serta pembangunan insan dalam kalangan penduduk Kampung Sena di sini menerusi peruntukan Kampung Angkat MADANI 2025 berjumlah RM1 juta melalui Jabatan Perdana Menteri.
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata program itu melibatkan empat program fizikal manakala selebihnya program bukan fizikal yang dilaksanakan dari 15 April hingga 31 Dis tahun lepas.
Beliau berkata program fizikal melibatkan projek pembaikan sistem perparitan, menaik taraf Pusat Komuniti Desa serta pemasangan lebih 100 unit lampu solar, papan tanda lorong dan mercu tanda.
“Lapan program bukan fizikal pula ialah Pemeriksaan Kesihatan dan Pergigian, Program Baca Kids, Program STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), Program Kem Lonjakan Akhir Matematik Untuk Juara dan Program Asas Pendawaian Elektrik.
“Selain itu, Program Menservis Motosikal, Kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan Bekerja Binaan dan Program Desa Sena Biz Bootcamp,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan program Kampung Angkat MADANI 2025 di kampung itu hari ini.
Zaliman berkata kerja pembaikan sistem perparitan membabitkan pemasangan lebih 300 meter longkang konkrit berbentuk U bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan itu.
“Pelaksanaan program ini selari dengan inisiatif UniMAP for Society serta hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menerusi Kampung Angkat MADANI sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti setempat
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Sena atas kerjasama dan komitmen diberikan. UniMAP akan terus bekerjasama dengan agensi di negeri ini bagi memastikan manfaat kehadiran universiti dapat dirasai seluruh rakyat Perlis,” katanya.
-- BERNAMA
