KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dijangka menerima pelbagai pelaburan berpotensi dalam pelbagai sektor tahun ini, dan bukan sahaja tertumpu kepada pusat data.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, walaupun projek pusat data kebiasaannya melibatkan nilai pelaburan yang besar, perbincangan juga sedang dijalankan dengan sektor lain.
“Beberapa perbincangan masih berterusan, dan ia mungkin berlaku tahun ini dari segi kelulusan atau mungkin tahun depan,” katanya kepada media pada sesi penghargaan dan perangkaian media MIDA, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi MIDA Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sesi itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata MIDA akan memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan kesan limpahan daripada pelaksanaan pelaburan yang telah direalisasikan terutama dari segi penciptaan kerja dan pertumbuhan pendapatan.
“Tiada manfaat melaksanakan sesuatu jika hasilnya tidak seperti yang dirancang. Malah, bagi pelaburan yang telah direalisasikan, adakah kita mewujudkan kesan limpahan yang sewajarnya? Adakah kita melahirkan pekerjaan yang sesuai untuk rakyat sehingga dapat meningkatkan paras pendapatan?
“Adakah kita mewujudkan pekerjaan supaya rakyat tidak lagi berada dalam keadaan guna tenaga tidak penuh? Tiada manfaat untuk mewujudkan pekerjaan yang tidak meningkatkan produktiviti negara,” katanya.
-- BERNAMA
