JENAYAH & MAHKAMAH

BAPA DITAHAN PAKSA ANAK CURI NESCAFE DI JEMPOL

14/01/2026 09:02 PM

JEMPOL, 14 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai memaksa anak kandungnya yang berusia 10 tahun mencuri barangan keperluan harian di sebuah pasar raya di Bahau, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, DSP R. Premkumar berkata pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 11.45 pagi membabitkan seorang kanak-kanak lelaki yang didapati mencuri satu peket minuman jenama Nescafe seberat 200 gram atas arahan bapanya.

Menurutnya, penyelia pasar raya berkenaan tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau sebelum suspek berusia 34 tahun itu ditahan dan akan direman esok, manakala kanak-kanak itu diserahkan kepada ibu kandungnya.

"Siasatan awal mendapati suspek sering mengarahkan serta memaksa anak lelaki sulungnya mencuri barangan keperluan harian seperti Milo di beberapa premis perniagaan lain sebelum ini.

"Sekiranya mangsa enggan, suspek akan memarahi dan mengugut untuk mencederakan kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata perbuatan itu menyebabkan mangsa mengalami penderaan emosi dan penganiayaan apabila dipaksa oleh bapa kandung sendiri untuk melakukan perbuatan jenayah.

Premkumar berkata hasil semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan jenayah dan dadah, termasuk kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, selain satu rekod dikehendaki polis pada tahun 2021.

Katanya dua kertas siasatan dibuka secara selari mengikut Seksyen 380/109 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan