EKONOMI

PENERBANGAN TERUS CHONGQING-PULAU PINANG BERMULA 8 APRIL

15/01/2026 03:21 PM

GEORGE TOWN, 15 Jan (Bernama) -- Penerbangan terus berjadual antara Chongqing dan Pulau Pinang akan bermula pada 8 April dengan Chongqing Airlines mengendalikan empat perkhidmatan seminggu, seterusnya memperkukuh ketersambungan udara antara negeri itu dengan China Barat. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata pelancaran laluan baharu itu menandakan pencapaian penting dalam usaha berterusan negeri mengukuhkan penglibatan dengan pasaran China serta meningkatkan kesalinghubungan udara antarabangsa. 

“Seawal September 2024, saya mengetuai delegasi kerajaan negeri ke Chongqing untuk menganjurkan program promosi pelancongan. Pada masa itu, penerbangan carter dikendalikan Firefly antara Chongqing dan Pulau Pinang juga diperkenalkan. 

“Ini meletakkan asas kukuh kepada penerbangan terus berjadual serta kemajuan pelancongan Chongqing dan Pulau Pinang dengan kerjasama dua hala kini beransur-ansur menjadi kenyataan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menerusi pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) antara Penang Global Tourism (PGT) dan Chongqing Airlines di Chongqing semalam, Wong berkata MoC itu secara rasmi menandakan perkongsian strategik dalam sektor penerbangan serta pelancongan.  

Wong berkata Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan perkongsian strategik rasmi dengan Chongqing Airlines yang disifatkan sebagai pencapaian penting negeri dalam memperluas pasaran China serta memperkukuh pertukaran pelancongan antara dua negara terlibat.  

Di bawah laluan baharu itu,  Chongqing Airlines akan mengendalikan penerbangan terus ke Pulau Pinang dengan nombor penerbangan OQ2195 yang berlepas pada 7.50 malam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 12.30 tengah malam keesokan harinya. 

Beliau berkata perkhidmatan itu akan berlangsung empat kali seminggu, iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad dengan penjualan tiket dijadualkan bermula dalam masa terdekat. 

Selain itu, Wong merujuk data Chongqing Municipal People’s Government yang merekodkan populasi sebanyak 31.9 juta setakat akhir 2024, menunjukkan pasaran kukuh Chongqing. 

Beliau berkata sebagai sebuah perbandaran yang ditadbir secara langsung di bawah Kerajaan Pusat dan hab penerbangan utama di China Barat, Chongqing mempunyai asas populasi yang besar serta pasaran pelancongan keluar negara yang matang.

“Dengan menjadi perintis dalam menjalin kerjasama dengan Chongqing Airlines, Pulau Pinang secara proaktif menyokong kepentingan pelancongan negara, menyumbang kepada pertumbuhan ketibaan antarabangsa dan mengukuhkan keterlihatan negeri ini dalam pasaran pelancongan global,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan