AM

ABD MALEK DILANTIK KETUA POLIS DAERAH TAIPING

15/01/2026 05:43 PM

TAIPING, 15 Jan (Bernama) -- Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping ACP Abd Malek Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Taiping menggantikan ACP Mohamad Nasir Ismail yang bersara wajib mulai esok.

Majlis pemakaian pangkat dan serah tugas jawatan itu berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini dengan disaksikan Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.

Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak SAC Roslan Yusof@ Mohamad serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak SAC Razlam Abd Hamid.

Abd Malek, 59, ketika ditemui pemberita berkata beliau akan memberikan penumpuan khusus terhadap kes penipuan dalam talian serta narkotik.

“Saya harap semua anggota akan dapat memberikan kerjasama terbaik demi memastikan kedua-dua kes dibanteras habis-habisan di daerah ini,” katanya yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang kepolisan.

Sementara itu, Noor Hisam ketika berucap memuji kepimpinan yang ditunjukkan Mohd Nasir dalam memastikan tahap keselamatan daerah Taiping sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Kalau dahulu, Taiping antara lokasi panas jenayah selain Ipoh. Namun, menerusi kepimpinan beliau (Mohd Nasir), banyak masalah berjaya diselesaikan mengikut piawaian ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan