KULIM, 17 Jan (Bernama) -- Seorang bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT) yang ditahan tengah malam tadi tadi kerana disyaki membangkitkan isu berbaur perkauman dalam satu wacana tentang Palestin, akan dibebaskan setelah polis selesai merakam percakapannya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ismail, pagi tadi.
"Saya dimaklumkan bahawa bekas wartawan terbabit akan dibebaskan selepas selesai dirakam percakapannya.
"Siasatan masih dijalankan … setelah siasatan lengkap dan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, keputusan lanjut adalah di bawah bidang kuasa mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Inden Projek Mesra Rakyat kepada kontraktor di Kulim Hi-tech Park, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata sebagai agensi penguat kuasa, polis hanya melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memastikan undang-undang dipatuhi dan bukannya untuk menekan kebebasan masyarakat.
"Apabila ada aduan, polis akan mempertimbangkan tindakan lanjut, itu proses pertama. Siasatan masih dijalankan … apabila dia diperlukan untuk melengkapkan siasatan, dia akan dipanggil pada bila-bila masa," katanya.
Katanya, beliau sentiasa menghormati kebebasan bersuara, namun kebebasan itu haruslah datang dengan tanggungjawab.
"Wartawan itu buat liputan tentang bekas ahli Parlimen dari United Kingdom … kemudian dia buat perbandingan keadaan di Palestin yang rakyatnya ditekan oleh Israel … dia buat perbandingan layanan yang komuniti Cina terima di Malaysia.
"Jawapan daripada ahli Parlimen itu pun sangat jelas, maknanya perbandingan itu tidak tepat langsung sepanjang beliau mengenali Malaysia," katanya.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata media yang diwakili bekas wartawan itu telah tampil membuat permohonan maaf dan menyatakan perkara itu bukanlah pendirian agensi berkenaan.
"Insiden itu sudah jadi insiden yang tular dan mengundang pelbagai pandangan orang … ada pro dan kontra. Ada yang tak setuju (bekas wartawan) ditahan atas prinsip kebebasan bersuara dan di satu sisi lain berpendapat perkara ini sudah cross the line (melampaui batas)," katanya.
Bekas wartawan FMT berkenaan ditahan polis kira-kira 12 tengah malam tadi bagi membantu siasatan berhubung penularan rakaman video yang membangkitkan isu perkauman dalam satu wacana mengenai Palestin.
-- BERNAMA
