SARIKEI, 17 Jan (Bernama) -- Seorang kontraktor mengalami kerugian kira-kira RM460,000 selepas terperdaya dengan tawaran pulangan lumayan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang disertainya sejak awal Disember tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Sarikei Supt Aswandy Anis berkata mangsa berusia dalam lingkungan 50-an itu, membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata mangsa sebelum itu melayari laman Facebook dan terlihat iklan berkaitan pelaburan yang menjanjikan pulangan mudah serta menguntungkan dalam tempoh singkat.
“Selepas menekan pautan iklan berkenaan, mangsa dibawa ke aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘65 EP’.
“Kumpulan WhatsApp itu bertujuan memberi penerangan dan mengajar berkaitan pelaburan yang dinamakan ‘FTSE Bursa Malaysia’, dan mangsa berhubung dengan seorang individu menggunakan nama ‘Luna Lee’ yang berperanan sebagai pengajar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 25 peratus dalam tempoh 24 jam dan diarahkan mengikut arahan suspek untuk melakukan pelaburan berkenaan.
Aswandy berkata mangsa turut diajar membuat pembayaran dalam jumlah besar di bank dengan alasan kononnya untuk tujuan pembayaran kerja pengubahsuaian rumah.
“Mangsa melakukan sebanyak tujuh transaksi pemindahan wang berjumlah kira-kira RM460,000 ke dalam dua akaun bank berbeza atas nama syarikat berlainan dari 5 Dis 2025 hingga 5 Jan 2026, namun sepanjang tempoh itu, mangsa tidak pernah menerima sebarang pulangan keuntungan.
“Sebaliknya, mangsa diarahkan membuat bayaran tambahan dengan alasan bagi mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengimbas kod QR ‘Scan Me’ bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi jenayah komersil menerusi akaun media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan e-buku Jenayah Komersil.
Sila layari Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Cyber Crime Alert Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk maklumat terkini berkaitan penipuan, selain menyemak nombor telefon dan akaun bank menerusi aplikasi Check Scammers CCID atau laman web semakmule.rmp.gov.my.
-- BERNAMA
