JENAYAH & MAHKAMAH

DUA WARGA BANGLADESH MAUT LORI DIPANDU RAKAN SENEGARA TERBABAS

17/01/2026 08:42 PM

KUANTAN, 17 Jan (Bernama) -- Dua buruh ladang kelapa sawit warga Bangladesh maut selepas lori dinaiki terlibat dalam kemalangan di jalan Selancar-Redong dekat Kampung Perwira Jaya, Rompin hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata kemalangan pada 2.25 petang itu menyebabkan penumpang hadapan kenderaan terbabit dikenali sebagai Md Kader, 34, dan penumpang belakang Md Dalim, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori muatan barangan racun kelapa sawit dinaiki empat lelaki warga Bangladesh termasuk seorang pemandu itu sedang dalam perjalanan dari arah Felda Redong menghala ke Felda Selancar. 

“Semasa ditempat kejadian, lori dipandu lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai cuba memotong sebuah kereta namun hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kemalangan itu turut mengakibatkan seorang lagi penumpang belakang lori berusia 41 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dirawat di Hospital Segamat, Johor manakala pemandu yang tiada lesen memandu terbabit tidak cedera.

“Polis juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan lori dipandu oleh individu tidak mempunyai lesen,” katanya. 

Sharif Shai berkata dua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan