FOKUS BERNAMA

AZAM KEWANGAN TAHUN BAHARU PERLU BERMULA DENGAN PRINSIP ASAS - PAKAR

19/01/2026 11:10 AM


From Nurul Hanis Mohd Izmir

Apabila tiba tahun baharu, pasti akan ada yang mengambil peluang menilai semula kedudukan kewangan masing-masing termasuk menyusun kembali belanjawan, dengan azam memastikan kedudukan kewangan yang lebih baik sepanjang tahun.

Namun bagi kebanyakan keluarga, belanjawan hanya tinggal perancangan apabila realiti kehidupan menghimpit dengan komitmen kewangan kian meningkat, terutamanya jika anak-anak masih kecil atau sedang bersekolah, menjadikan aliran tunai semakin tenat.

Situasi itu juga menyebabkan ramai yang tidak mempunyai simpanan, waima untuk menampung keperluan kecemasan dan seterusnya berisiko meletakkan kedudukan kewangan mereka dalam keadaan lebih parah.

Menurut jurulatih belanjawan Nafisah Amran, situasi sedemikianlah yang menegaskan kepentingan mempunyai belanjawan agar sesebuah keluarga atau individu tidak terperangkap dalam “gali lubang untuk tutup lubang”.   

“Kekuatan kewangan tidak terletak pada formula rumit, sebaliknya bermula dengan kembali kepada prinsip asas pengurusan gaji,” jelasnya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, di sini baru-baru ini.

Beliau berkongsi tip bagaimana rakyat dapat mengikat wang dengan hala tuju hidup, membina tabung kecemasan dan memutuskan kitaran hutang tahun demi tahun.

 

ASAS KEWANGAN BERMULA DENGAN BAKI

Menurut Nafisah,  prinsip paling asas dalam belanjawan ialah memastikan pendapatan bulanan tidak habis dibelanjakan, sebaliknya mesti ada baki yang diperuntukkan untuk simpanan dan masa depan.

Katanya pada masa ini ramai rakyat Malaysia masih tidak mempunyai simpanan asas, termasuk tabung kecemasan, sekali gus menjadikan kedudukan kewangan mereka rapuh apabila berdepan kejutan.

pic-2

“Paling asas, kita kena ada ‘emergency fund’ dulu. Apa yang kita belajar daripada COVID... tiba-tiba ramai hilang kerja, kena potong gaji. Pada masa itu kita nampak ‘emergency fund’ penting sangat,” katanya.

Tinjauan Keupayaan dan Keterangkuman Kewangan Permintaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2024 mendapati sebanyak 61 peratus rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan, meningkat ketara berbanding 47 peratus pada 2021.

Mengulas lanjut, Nafisah berkata antara punca seseorang gagal membina simpanan ialah kemudahan kredit “beli sekarang bayar kemudian” atau BNPL, serta pinjaman kecil yang diambil sedikit demi sedikit walaupun jumlah bayaran bulanan itu kelihatan kecil. 

Data BNM menunjukkan jumlah transaksi BNPL melonjak kepada RM7.1 bilion dalam tempoh separuh kedua 2024 berbanding RM4.9 bilion pada separuh pertama tahun sama, manakala jumlah pengguna aktif mencecah 5.1 juta orang setakat akhir tahun.

Trend pertumbuhan itu berterusan pada 2025 apabila nilai transaksi BNPL meningkat kepada kira-kira RM9.3 bilion melibatkan lebih 102 juta transaksi pada enam bulan pertama, dengan jumlah akaun aktif bertambah kepada sekitar 6.5 juta. 

Majoriti pengguna adalah golongan berumur 21 hingga 45 tahun serta berpendapatan sederhana, sekali gus menjadikan BNPL sebagai antara bentuk kredit jangka pendek paling pesat berkembang di negara ini.

Media juga melaporkan setakat pertengahan 2025, hampir 169,000 akaun atau 2.6 peratus pengguna BNPL mempunyai baki tertunggak dengan jumlah keseluruhan sekitar RM121.8 juta.

 

SIMPANAN KECEMASAN SATU KEPERLUAN

Mengambil kira keadaan semasa yang menyaksikan peningkatan kos sara hidup dan pendapatan tidak terjamin, Nafisah berkata pembinaan tabung kecemasan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas bagi melindungi kestabilan kewangan isi rumah.

Bertentangan dengan tanggapan umum, beliau berkata tabung kecemasan tidak perlu bermula dengan sasaran tinggi seperti enam bulan simpanan (bersamaan perbelanjaan enam bulan) yang turut menjadi punca ramai berputus asa sebelum bermula. 

pic-3

Sebaliknya, beliau menyarankan pembinaan tabung kecemasan secara kecil tetapi konsisten, kerana fungsinya adalah sebagai perlindungan apabila berlaku perkara tidak dijangka seperti kehilangan pendapatan, sakit, kerosakan rumah atau kenderaan serta keperluan membayar tunggakan mendesak.

Beliau juga menolak persepsi tabung kecemasan perlu dikira berdasarkan jumlah gaji, iaitu lagi besar gaji maka seseorang itu perlu menyimpan lebih banyak.

“(Bayaran pinjaman/sewa) Rumah yang diduduki, makanan asas, pengangkutan termasuk minyak dan tol, serta bil utiliti...itu angka asas. Kalau jumlahnya RM5,000 sebulan, ‘emergency fund’ kita kira berdasarkan angka itu, bukan (jumlah) gaji,” katanya.

 

FORMULA 50:30:20 BUKAN MUTLAK

Mengulas kaedah belanjawan 50:30:20 yang popular, Nafisah berkata formula itu boleh dijadikan panduan awal, namun tidak wajar dianggap sebagai penanda aras mutlak. 

Menurutnya, ramai gagal membina belanjawan kerana terlalu fokus pada sasaran 20 peratus daripada gaji perlu disimpan, sedangkan realitinya mereka hanya mampu menyimpan lima hingga 10 peratus pada peringkat awal.

pic-4

“Jangan sebab tak capai 20 peratus terus tak buat (bina tabung). Kita mula dengan apa yang kita mampu. Dari situ, kita cari kebocoran dan naikkan simpanan sedikit demi sedikit,” katanya.

Nisbah 50:30:20 ialah kaedah mudah untuk mengurus kewangan bulanan dengan membahagikan pendapatan kepada tiga bahagian utama, iaitu keperluan, kehendak dan simpanan. 

Kaedah ini membantu seseorang mengawal perbelanjaan harian sambil memastikan simpanan untuk masa depan tidak diabaikan.

Sebanyak 50 peratus daripada pendapatan diperuntukkan untuk keperluan asas seperti sewa atau bayaran ansuran pinjaman perumahan, bil utiliti, makanan, pengangkutan, insurans dan bayaran pinjaman wajib. Perbelanjaan ini dianggap keutamaan kerana ia berkaitan dengan keperluan hidup harian dan komitmen tetap.

Sementara 30 peratus pula (dicadang) digunakan untuk kehendak atau gaya hidup, termasuk makan di luar, hiburan, membeli-belah, langganan digital dan percutian. Bahagian ini bersifat fleksibel dan boleh dikurangkan sekiranya seseorang perlu berjimat atau meningkatkan simpanan.

Baki 20 peratus diperuntukkan untuk simpanan dan pelaburan, seperti dana kecemasan, simpanan tetap, pelaburan jangka panjang atau bayaran tambahan untuk melangsaikan hutang. Prinsip utama nisbah ini ialah mengutamakan simpanan agar kewangan lebih stabil dan terjamin dalam jangka panjang.

 

IKAT DUIT DENGAN HALA TUJU HIDUP

Bagi Nafisah, simpanan tidak akan bertahan tanpa tujuan yang jelas. Beliau berkongsi bahawa duit perlu diikat dengan hala tuju hidup, bukan sekadar dihabiskan setiap kali gaji diterima.

“Kalau bujang, mungkin impian hendak melancong. Kalau ada anak, kita tengok umur anak (iaitu di mana mereka) tiga tahun lagi, lima tahun lagi. Bila kita nampak fasa hidup, kita tahu bila duit akan diperlukan,” katanya.

Pendekatan itu menurut beliau membantu individu melihat kewangan secara jangka sederhana dan panjang, bukan sekadar dari satu gaji ke satu gaji.

Beliau juga berpendapat banyak keluarga yang sebenarnya tidak mempunyai masalah dari segi pendapatan tetapi terjejas akibat perbelanjaan besar yang datang secara berturutan setiap tahun, seperti musim persekolahan, Ramadan dan Aidilfitri, serta pembaharuan insurans kenderaan dan cukai jalan.

Tanpa perancangan awal, gaji bulanan terpaksa digunakan untuk menampung perbelanjaan yang sepatutnya telah dijangka.

Oleh yang demikian, beliau menyarankan pembentukan “sinking fund” atau tabung khas bagi perbelanjaan bermusim, dengan menyimpan sedikit demi sedikit sepanjang tahun.

“Kita cuba setahun saja buat ‘sinking fund’. Bila sampai raya, kita guna tabung itu. Kita tak guna duit gaji (untuk perbelanjaan bermusim). Di situlah kita berjaya putuskan kitaran,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu memberi ruang pernafasan kepada aliran tunai dan mengelakkan kesan yang berlanjutan hingga beberapa bulan selepas perayaan.

 

BANTUAN KERAJAAN BUKAN SANDARAN JANGKA PANJANG

Dalam konteks bantuan kerajaan, Nafisah berpandangan bantuan yang diberikan boleh dimanfaatkan mengikut tujuan asalnya, namun rakyat tidak wajar bergantung sepenuhnya pada bantuan itu yang bersifat tidak tetap.

“Kalau ada bantuan, kita boleh guna untuk ‘top up’ perbelanjaan raya supaya tak kacau (duit) gaji. Gaji itu kita simpan. Itu yang penting,” ulang beliau.

Nafisah turut menyarankan amalan mencatat perbelanjaan yang kata beliau merupakan kunci  kepada disiplin kewangan.

Amalan itu dapat membantu individu mengenal pasti kebocoran dan membetulkan aliran tunai setiap bulan.

“Kalau tersasar, kita boleh berpatah balik. Jangan tunggu tahun depan. Setiap kali gaji masuk, kita boleh baiki,” katanya.

Menyentuh pelarasan gaji fasa kedua yang akan diterima penjawat awam pada 22 Jan ini, Nafisah berkata sebaiknya tambahan gaji asas yang diterima itu disalurkan kepada pelaburan atau membina tabung kecemasan bagi yang belum berbuat demikian.

“Kalau yang ada tunggakan pula, lunaskan tunggakan itu dulu. Bila dah stabil, baru upgrade ke simpanan dan pelaburan. Jangan terus naikkan gaya hidup,” nasihatnya.

Nafisah menegaskan bahawa perubahan kewangan tidak memerlukan tindakan besar secara sekali gus, sebaliknya bermula dengan keberanian untuk melakukan perubahan kecil secara konsisten.

“Apabila kitaran perbelanjaan defisit berjaya diputuskan, kesannya bukan sahaja dirasai dalam jangka pendek, malah membuka ruang kepada persaraan yang lebih terurus dan kesejahteraan generasi akan datang.

Break the cycle sekali saja, tapi snowball effect besar. Kita bukan saja baiki kewangan sendiri, kita kurangkan beban untuk generasi seterusnya,” katanya.

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan