AM

PERLINDUNGAN KESELAMATAN DALAM TALIAN PERLU DILAKSANA SECARA BERPERINGKAT -CYRES

19/01/2026 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Peraturan keselamatan dalam talian perlu dilaksanakan secara berperingkat dan disokong oleh mekanisme institusi yang kukuh bagi melindungi pengguna, sambil memastikan kerjasama daripada platform digital.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber (CYRES) Prof Dr M. Selvakumar berkata pengalaman negara-negara yang telah memperkenalkan undang-undang keselamatan dalam talian menunjukkan bahawa peraturan tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan sahaja, sebaliknya perlu melibatkan masyarakat sivil, ibu bapa dan pendidik.

“Ia perlu melibatkan masyarakat sivil, ibu bapa dan memberi maklumat kepada guru-guru. Ia tidak boleh dilakukan sekali gus, sebaliknya perlu melalui pendekatan berperingkat,” katanya dalam temu bual bersama program Bernama World di Bernama TV bertajuk “Keselamatan Dalam Talian dalam Fokus: Memahami ONSA 2025 Malaysia” hari ini.

Beliau menekankan strategi berlapis perlu diamalkan, dengan memfokuskan terlebih dahulu kepada platform berimpak tinggi sebelum secara beransur-ansur memperluas tanggungjawab kepada platform lain.

“Ia mesti melalui pendekatan berperingkat...kategori platform media sosial perlu dibahagikan mengikut tahap impak. Platform dengan kehadiran tempatan yang kecil boleh dikenakan syarat pematuhan yang lebih ringan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerumitan penguatkuasaan timbul daripada evolusi pantas ancaman dalam talian, termasuk penipuan, maklumat palsu berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan eksploitasi kanak-kanak.

Mengenai keseimbangan antara pengawalseliaan dan kebebasan bersuara, Prof. Selvakumar menekankan kepentingan ketelusan dan pengawasan bebas.

Beliau mencadangkan penubuhan sebuah badan keselamatan dalam talian bebas yang melibatkan masyarakat sivil dan pakar akademik.

“Pertama sekali, ia berkaitan ketelusan. Kerajaan perlu menerbitkan laporan yang menjelaskan mengapa sesuatu kandungan dipadam… mengapa dan apa impaknya kepada rakyat Malaysia?

“Kita juga perlu menubuhkan Tribunal Keselamatan Dalam Talian. Ini memberi peluang yang adil kepada pengguna dan platform untuk mencabar keputusan,” katanya.

Walaupun kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) untuk menyediakan panduan strategik mengenai isu keselamatan dalam talian, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, Selvakumar berkata masih terdapat keperluan untuk memperkukuh mekanisme pemantauan bebas, khususnya bagi menjamin ketelusan serta saluran rayuan yang adil membabitkan pengguna dan platform.

Mengenai kesediaan platform global utama untuk mematuhi peraturan, Prof. Selvakumar berkata Malaysia mengambil pendekatan pragmatik dengan melibatkan mereka melalui regulatory sandbox berbanding tindakan segera.

“Akta ini telah berkuat kuasa sejak 1 Januari 2026, tetapi kita tidak menghukum platform media sosial buat masa ini. Mengapa? Kerana kami mahu bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan koordinasi serantau dalam menangani jenayah digital rentas sempadan berikutan sifat platform dalam talian yang tiada sempadan.

Prof. Selvakumar mengaitkan kepimpinan Malaysia dalam ASEAN dengan pengukuhan mekanisme perkongsian data dan tindak balas bersama di bawah rangka kerja keselamatan siber serantau.

“Internet adalah platform global tanpa sempadan…jadi kerjasama dan usaha bersama antara negara adalah penting. Setidak-tidaknya di peringkat ASEAN, kita boleh berkongsi data dan berkolaborasi.

“Saya yakin banyak isu berkaitan penipuan dalam rantau ini boleh ditangani melalui mekanisme ini, “ katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa regulatory sandbox sedang dijalankan untuk menguji mekanisme tadbir urus platform media sosial bagi memastikan pengawalseliaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan tanpa mengekang inovasi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan