KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 sebagai padat dan menyeluruh, merangkumi perkara penting yang perlu diberi perhatian.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata meskipun titah berkenaan disampaikan secara ringkas, kandungannya sarat dengan mesej yang boleh dijadikan fokus oleh Ahli Parlimen dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang dijadual bermula esok.
“Apa yang paling penting ialah soal-soal yang sudah termaktub itu tidak diganggu atau diubah, agar menjadi asas perbahasan yang jelas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri istiadat berkenaan di sini hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata setiap kementerian mempunyai dasar dan pelan tindakan khusus yang akan dibentang dan dibahaskan oleh Ahli Parlimen, termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau berkata KKDW telah merancang 42 inisiatif game changer untuk dilaksanakan tahun ini, dan kesemua inisiatif tersebut akan diteliti oleh Ahli Parlimen melalui penyelidikan masing-masing untuk dibahaskan dalam persidangan Parlimen kali ini.
“Semua program utama yang telah ditetapkan akan dilaksanakan mengikut perancangan strategik kementerian dan sudah tentu perkara-perkara ini akan menjadi fokus dalam perbahasan di Parlimen,” katanya.
-- BERNAMA
