KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat bekas Timbalan Perdana Menteri Qatar merangkap bekas Menteri Luar, Khalid Mohammad Al Attiyah, di pejabatnya di Bangunan Parlimen, di sini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata pertemuan berkenaan memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai isu semasa selain meneroka potensi kerjasama strategik serta pelaburan yang boleh diperkukuh demi manfaat bersama Malaysia dan Qatar.
“Pertemuan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Qatar,” katanya.
Terdahulu, pada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 yang berlangsung di sini pada Mei tahun lepas, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, bagi membincangkan pelbagai bidang kerjasama strategik.
Antara bidang yang disentuh termasuk pelaburan, perdagangan, kerjasama pertahanan, tenaga, industri digital dan keterhubungan, serta pendidikan.
-- BERNAMA
