AM

ASEAN, CHINA DI PERINGKAT AKHIR MUKTAMAD KOD TATALAKU LAUT CHINA SELATAN - MOHAMAD

20/01/2026 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- ASEAN dan China kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata ia dijangka dapat diputuskan pada tahun ini dan hanya melibatkan negara yang mempunyai kepentingan langsung dalam isu berhubung Laut China Selatan.

“Di Laut China Selatan, kita tidak mahu negara-negara terbabit secara berasingan cuba untuk menyelesaikan masalah ini... kita gunakan apa yang dipanggil sebagai mekanisme diterajui ASEAN.

“Itu sebab kita sudah di peringkat akhir untuk memutus dan memuktamadkan apa yang dipanggil sebagai Kod Tatalaku bersama China... ini akan dapat kita lakukan dalam tahun ini, insya-Allah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin tahu mengenai cadangan Malaysia yang ke hadapan dalam memastikan kestabilan dan keamanan ASEAN.

Mengulas mengenai dakwaan Ronald bahawa ASEAN gagal menangani beberapa konflik dalam kalangan negara anggota, Mohamad berkata penggunaan perkataan “gagal” adalah kurang tepat.

Beliau mengambil contoh isu sempadan Kemboja dan Thailand yang disifatkan sebagai berjaya ditangani khususnya dengan Malaysia berperanan sebagai pemudah cara atas kehendak kedua-dua negara.

“Malaysia menjadi pemudah cara kerana kedua-dua negara mahu Malaysia... bukan semata-mata kerana Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun lepas.

“Sekarang ini, kita bukan lagi Pengerusi ASEAN... Filipina mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN pada 2026 tetapi kedua-dua negara masih lagi mahukan Malaysia sebagai pemudah cara,” katanya.

Mohamad juga berkata beliau telah meminta pihak berkaitan menulis surat bagi memohon Malaysia sebagai pemudah cara untuk menyelesaikan konflik Kemboja-Thailand.

Mengenai situasi di Myanmar, beliau berkata ASEAN tidak memperakui pilihan raya di negara itu yang berlangsung pada 25 Dis 2025 dan 11 Jan lepas kerana tidak membabitkan penyertaan penuh semua pihak.

“Malaysia juga tidak menghantar wakil ataupun pemerhati ke pilihan raya tersebut kerana kita telah katakan bahawa pilihan raya mesti disertai secara sepenuhnya bukan pilihan raya yang berpilih-pilih,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan