AM

DEWAN RAKYAT MAHU KERAJAAN PERANGI RASUAH LEBIH HOLISTIK SEHINGGA AKAR UMBI

20/01/2026 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Hari pertama sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan majoriti Ahli Parlimen menggesa kerajaan memperkukuh usaha membanteras rasuah secara lebih holistik dan komprehensif, termasuk melalui pengenalan undang-undang baharu yang lebih sistematik.

Wong Chen (PH-Subang) menegaskan usaha memerangi rasuah memerlukan reformasi undang-undang yang lebih menyeluruh dan bersifat sistemik, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menyifatkan rasuah sebagai ancaman besar terhadap negara, khususnya apabila ia turut menular ke dalam angkatan tentera dan berpotensi menggugat keselamatan nasional.

Beliau berpandangan meskipun pencapaian Kerajaan MADANI memerangi rasuah menunjukkan peningkatan awal dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International pada 2023, namun kemajuan itu terhenti pada 2024 dan berisiko merosot pada 2025.

Keadaan itu, membuktikan pendekatan sedia ada belum cukup untuk merombak budaya rasuah yang bersifat endemik.

“Antara punca utama kelembapan kemajuan itu ialah kegagalan mengubah struktur rasuah melalui reformasi perundangan yang menyokong ketelusan dan kebertanggungjawaban, termasuk kelemahan dalam mekanisme pengisytiharan harta yang ketika ini hanya dibuat kepada Perdana Menteri dan bukan kepada rakyat secara terbuka,” katanya pada sesi itu.

Sehubungan dengan itu, Wong Chen mencadangkan supaya pengisytiharan aset dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan semua menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penjawat awam kanan termasuk ahli keluarga terdekat, serta disusuli audit terperinci oleh Jabatan Audit Negara bagi menjamin ketelusan dan kredibiliti proses tersebut.

“Kerajaan wajar memperkenalkan undang-undang Unexplained Wealth Orders (UWO) seperti diamalkan di United Kingdom, yang membolehkan aset yang tidak dapat dijelaskan dirampas melalui tindakan sivil tanpa memerlukan pembuktian jenayah pada tahap beyond reasonable doubt, sekali gus menjadikan UWO sebagai game changer memerangi rasuah berprofil tinggi,” katanya.

Beliau menegaskan pelaksanaan UWO dan reformasi menyeluruh undang-undang antirasuah hanya akan berjaya sekiranya wujud kemahuan politik yang jelas dalam kalangan Ahli Parlimen, sambil menyifatkan dua tahun terakhir penggal pentadbiran sebagai tempoh kritikal untuk melaksanakan perubahan itu demi memulihkan integriti institusi dan keyakinan rakyat.

Sementara itu, Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) menegaskan bahawa isu rasuah bukan sekadar salah laku individu, tetapi memberi kesan serius terhadap keselamatan negara, kedaulatan institusi dan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan.

Justeru, beliau berkata usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat selektif atau bermusim, sebaliknya perlu dilaksanakan secara menyeluruh, konsisten dan bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Turut senada, Mohd Nazri Abu Hasan (PN-Merbok) berkata amalan rasuah mesti diperangi dengan penuh integriti dan tanpa kompromi bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif seperti double standard dalam kalangan rakyat, terutama melibatkan kes rasuah berprofil tinggi.

Beliau berkata siasatan terhadap kes rasuah mesti dijalankan secara tegas tanpa mengira pangkat atau kedudukan seseorang kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan amalan itu semakin berleluasa, sekali gus membahayakan masa depan negara.

“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan semua orang adalah sama di sisi undang-undang, justeru undang-undang tidak boleh menjadi keras kepada yang lemah tetapi lunak kepada yang berkuasa,” katanya.

Isu rasuah turut dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen lain antaranya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang), Chong Zhemin (PH-Kampar) dan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang antara lain berharap kerajaan menterjemahkan usaha memerangi rasuah hingga ke peringkat akar umbi.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan