PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Lonjakan besar menerusi rancangan pendidikan negara diharap mampu menyedarkan semua pihak untuk berikhtiar melakukan perubahan yang lebih baik, khususnya dalam membentuk nilai, jati diri dan kemanusiaan pelajar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sebarang amalan yang merosakkan nilai murni dalam sistem pendidikan, termasuk budaya buli, tidak boleh dipandang ringan walaupun melibatkan segolongan kecil.
“Kita mesti ada tekad seperti mana kita berperang dengan rasuah dan dadah, kita juga mesti berperang dengan amalan buli yang jahat kerana ia merosakkan identiti dan budaya sekolah itu sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Anwar berkata pendidikan tidak seharusnya terhad kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu menekankan pembinaan nilai kemanusiaan yang membezakan manusia daripada makhluk lain.
“Apa-apa amalan kemalasan dan kerosakan mesti dibanteras, kerana yang kita didik itu manusia. Manusia boleh diangkat sebagai sebaik-baik insan atau memilih untuk menjadi sehina-hina makhluk. Maka nilai kemanusiaan itu amat penting dalam sistem pendidikan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menyeru agar seluruh ekosistem pendidikan digerakkan secara menyeluruh, melibatkan pelajar, mahasiswa, guru, pensyarah serta kepimpinan pendidikan bagi melonjakkan pembangunan peribadi, nilai, teknologi dan keupayaan masing-masing selaras dengan tuntutan semasa.
Beliau berkata walaupun portfolio pendidikan diterajui Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi, soal pendidikan sebenarnya menjadi tanggungjawab bersama seluruh Jemaah Menteri, termasuk dari segi perancangan dan peruntukan belanjawan negara.
“Malah, jika dibandingkan dengan banyak negara lain di dunia, Malaysia antara yang memperuntukkan jumlah yang sangat besar dalam bidang pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan bahawa peningkatan peruntukan dan bantuan kerajaan perlu disusuli dengan peningkatan mutu dan prestasi kerja semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan.
Kerajaan menerusi Belanjawan 2026 telah memperuntukkan RM66.2 bilion untuk Kementerian Pendidikan dan RM18.60 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.
Sementara itu, Anwar berkata pada bulan ini, penjawat awam termasuk guru dan pensyarah menerima pelarasan gaji, manakala pelajar daripada Tahun Satu hingga Tingkatan Enam menerima bantuan tunai RM150 sebagai sokongan asas persekolahan.
“Selain itu, terdapat juga bantuan lain seperti baucar buku untuk mahasiswa, serta bantuan tunai termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan bantuan dan kemudahan yang diberikan perlu diterjemahkan kepada peningkatan kualiti, bukan sekadar mengekalkan tahap prestasi sedia ada.
“Kalau sebelum ini markahnya C, selepas bantuan dan sokongan diberikan, janganlah masih C. Sebab itu saya mengharapkan dengan lonjakan dalam rancangan pendidikan negara ini, kita benar-benar insaf dan berikhtiar untuk melakukan sesuatu yang lebih baik,” katanya.
-- BERNAMA
