KUALA TERENGGANU, 20 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu mereman dua penjawat awam bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berkaitan pembekalan makanan sekolah di daerah Kemaman.
Sumber SPRM memaklumkan perintah reman enam hari hingga Ahad ini terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan Majistret Marsha Abdul Malik di Mahkamah Majistret Kemaman pada pagi tadi, selepas permohonan dibuat SPRM.
Menurut sumber, suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan lewat 40-an itu ditahan kira-kira 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki terlibat dalam pemalsuan tuntutan bernilai kira-kira RM23,000 membabitkan perolehan pembekalan makanan di sebuah sekolah di Kemaman bagi tempoh tahun 2023 hingga 2024, sedangkan tiada bekalan sebenar dilaksanakan seperti yang dituntut," menurut sumber.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan akan dibuat.
-- BERNAMA
