AM

KERAJAAN MADANI PERLU TERUS ILTIZAM BERSIHKAN SISTEM DARIPADA KEROSAKAN

20/01/2026 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan MADANI bersama seluruh jentera pentadbiran mesti terus beriltizam membersihkan sistem daripada kerosakan, khususnya memutuskan budaya rasuah dan mengembalikan maruah perkhidmatan awam dalam usaha merealisasikan agenda reformasi institusi serta demokrasi negara.

Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Hasni Mohammad berkata kes rasuah melibatkan perkhidmatan awam yang sedang berlegar ketika ini sepatutnya dijadikan peringatan keras semua pihak, memandangkan perkara itu semakin mencalar kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran awam.

“Ingin saya tegaskan, kes ini tidak wajar menenggelamkan jasa ribuan penjawat awam yang bersih dan berintegriti tetapi ia menjadi peringatan keras bahawa reformasi tidak boleh berhenti pada niat atau retorik.

“Pengukuhan tadbir urus berasaskan integriti dan akauntabiliti bukan sekadar aspirasi tetapi terjemahan nilai Malaysia MADANI dalam tindakan seharian pentadbiran negara dan reformasi yang diyakini rakyat ialah reformasi yang dapat dirasai, diukur dan dipertanggungjawabkan,” katanya ketika membentangkan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai usaha kerajaan dalam menuju agenda reformasi itu, Hasni yang mewakili Kelab Penyokong Kerajaan MADANI mengalu-alukan hasrat kerajaan membentangkan rang undang-undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun, yang dilihat mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan parti politik dalam menunaikan janji reformasi. 

Beliau turut menyambut baik komitmen kerajaan untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, dengan menyifatkan langkah itu sebagai antara reformasi asas menjamin kebebasan pendakwaan serta menghapuskan konflik kepentingan yang wujud dalam sistem sedia ada.

Selain itu, Hasni berkata pembentangan RUU Ombudsman bagi memperluas kuasa pengawasan bebas terhadap pentadbiran awam serta RUU Kebebasan Maklumat bagi mempromosikan ketelusan dan hak akses kepada maklumat awam juga langkah amat signifikan.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua cadangan perundangan berkenaan wajar dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan atau sekurang-kurangnya dibentangkan lebih awal bagi membolehkan penelitian serta perbahasan bermakna oleh Ahli Parlimen dan rakyat.

Beliau turut menyuarakan sokongan terhadap reformasi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk pengawasan Parlimen dalam proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya serta pembentangan laporan tahunan SPRM untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Sepertimana titah Yang di-Pertuan Agong, rasuah perlu diperangi secara besar-besaran dan SPRM mesti menjalankan siasatan dengan cepat serta sempurna tanpa mengira darjat dan kedudukan,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata Malaysia juga perlu memanfaatkan peranan ASEAN yang semakin penting dalam landskap geopolitik dan ekonomi global, dengan hampir 700 juta penduduk serta Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kolektif yang besar.

“Dalam dunia yang semakin bergolak, ASEAN bukan lagi entiti di pinggiran tetapi pemacu penting yang wajar digerakkan dengan idea segar, inovasi dan keberanian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan