JENAYAH & MAHKAMAH

PENGANGGUR MENGAKU TIDAK BERSALAH BAKAR ENAM RUMAH DI KAMPUNG JOHAN SETIA

21/01/2026 02:00 PM

KLANG, 21 Jan (Bernama) -- Seorang penganggur hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membakar enam buah rumah di Kampung Johan Setia dekat sini, minggu lepas. 

‎Jefery Johar, 44, yang berdepan enam pertuduhan, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syarifah Hascindie Syed Omar.

‎Dia didakwa melakukan khianat menggunakan bahan api dengan membakar rumah milik enam penduduk tempatan sekitar 2 hingga 2.30 petang pada 13 Jan lepas mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

‎Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes itu tertakluk kepada kesalahan yang tidak boleh dijamin. 

‎‎"Bagaimanapun, jika mahkamah ingin menggunakan kuasa budi bicara saya mencadangkan jaminan ditetapkan sebanyak RM10,000 bagi setiap kesalahan," katanya.

‎Jefery, yang tidak diwakili peguam, tidak membuat sebarang rayuan untuk dibenarkan jaminan. 

‎Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 31 Mac depan.

‎-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan