PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan sesi libat urus khas bersama kepimpinan mahasiswa seluruh negara pada awal Februari depan sebagai langkah awal bagi menjayakan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perkara itu dipersetujui susulan pertemuan bersama Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) selepas pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
RPN diterajui secara bersama oleh KPT melalui RPTM, manakala Kementerian Pendidikan (KPM) menerajui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
“Antara cabaran utama selepas peluncuran rasmi ialah pelaksanaannya, khususnya melibatkan mahasiswa sebagai komponen penting di universiti, politeknik dan kolej komuniti,” katanya kepada media di sini hari ini.
Zambry berkata beliau menyambut baik pendekatan proaktif MPPK yang tampil mengadakan pertemuan awal bagi menyampaikan pandangan serta mencadangkan langkah susulan berkaitan pelaksanaan pelan berkenaan.
“Langkah pertama yang dipersetujui ialah penganjuran satu program khas bersama kepimpinan mahasiswa universiti awam, selain melibatkan politeknik, kolej komuniti serta sebahagian institusi pengajian tinggi swasta,” katanya.
Beliau berkata sesi itu akan memberi ruang interaksi secara terbuka dan santai bagi mendengar pandangan mahasiswa ke arah pelaksanaan RPTM 2026-2035 yang lebih berkesan.
Sementara itu, Presiden MPPK Muhammad Haykal Halid berkata inisiatif tersebut penting bagi memastikan suara mahasiswa didengar sejak peringkat awal pelaksanaan RPTM.
“RPTM 2026-2035 merupakan dokumen penting yang memberi kesan langsung kepada masa depan mahasiswa, institusi pendidikan tinggi serta kebolehpasaran graduan,” katanya.
Mengulas isu pertemuan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Adam Adli Abdul Halim dengan Liga Mahasiswa Malaysia (LMM), Muhammad Haykal menegaskan MPPK tidak berkecil hati dan menghormati semua pandangan.
“Kami terbuka untuk bertemu mana-mana pihak di KPT bagi membincangkan RPTM dan kebajikan mahasiswa,” katanya.
Antara isu yang dijangka dibincangkan dalam sesi libat urus berkenaan ialah kos sara hidup, kebajikan mahasiswa, dasar universiti, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta Deklarasi Mahasiswa 2025.
-- BERNAMA
