AM

KERAJAAN LAKSANA TUJUH LANGKAH KONKRIT PERKUKUH FELDA, PULIH KEYAKINAN PENEROKA

21/01/2026 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang melaksanakan tujuh langkah konkrit bagi memastikan kebajikan serta kepentingan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terus dipelihara, termasuk memperkukuh mandat undang-undang berkaitan agensi itu.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata antara langkah utama ialah reformasi terhadap akta berkaitan seperti Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) (GSA) 1960 bagi memperkemas peranan dan fungsi FELDA.

“Langkah ini juga bertujuan menjelaskan hubungan perundangan antara FELDA dan peneroka, selain menyesuaikan kerangka perundangan sedia ada dengan keperluan generasi baharu peneroka serta landskap ekonomi semasa,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin)  mengenai langkah konkrit kerajaan bagi memulihkan keyakinan peneroka FELDA serta memastikan suara mereka terus diberi perhatian.

Rubiah berkata kerajaan turut memperkukuh penyelarasan antara FELDA dan anak syarikatnya supaya keseluruhan kumpulan dapat bergerak seiring dengan hala tuju strategik yang seragam, struktur organisasi lebih tersusun serta kecekapan operasi lebih tinggi.

“Pendekatan ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber, mengelakkan pertindihan fungsi dan meningkatkan prestasi keseluruhan kumpulan FELDA,” katanya.

Selain itu, beliau berkata penyelesaian isu legasi dan perundangan turut menjadi keutamaan kerajaan, termasuk menangani beban warisan seperti litigasi tuntutan kontrak dan obligasi tertangguh yang menjejaskan kedudukan kewangan FELDA.

“Pendekatan penyelesaian secara rundingan dan penstrukturan semula dilaksanakan bagi mengurangkan risiko jangka panjang serta memulihkan kestabilan institusi,” katanya, sambil menambah penekanan turut diberikan kepada penjelasan isu dan struktur pemilikan tanah.

Rubiah berkata kerajaan juga giat menjalankan rundingan dengan kerajaan negeri bagi memuktamadkan isu pemilikan dan pentadbiran tanah FELDA memandangkan status tanah yang jelas penting bagi melancarkan operasi ladang, mempercepat pelaksanaan projek pembangunan serta menarik pelabur strategik demi kepentingan peneroka.

Beliau berkata penstrukturan kewangan turut dilaksanakan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan melalui peningkatan pulangan operasi, pengoptimuman struktur kos dan pengurusan aliran tunai yang lebih berdisplin.

“Ini termasuk penambahbaikan kecekapan pengurusan ladang dan pemerkasaan perniagaan teras FELDA,” katanya.

Rubiah berkata kesemua pendekatan menyeluruh itu diyakini dapat memulihkan keyakinan peneroka terhadap institusi FELDA serta memastikan aspirasi mereka terus diberi perhatian secara berterusan dan berstruktur.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan