AM

PAAB LABUR RM22.4 BILION UNTUK PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR AIR NEGARA SEJAK 20 TAHUN

21/01/2026 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) melabur sebanyak RM22.436 billion dalam pembangunan infrastruktur air negara sepanjang tempoh 20 tahun lepas, sekali gus mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat itu dalam memperkukuh ekosistem perkhidmatan air Malaysia. 

Pengerusinya Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata pelaburan itu meliputi pembiayaan perbelanjaan modal bagi projek telah siap, inisiatif yang sedang dilaksanakan, serta projek masa hadapan yang kini pada peringkat perancangan dan reka bentuk, melibatkan aset utama seperti loji rawatan air, takungan dan rangkaian paip di seluruh Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata skala serta kesinambungan pelaburan itu semakin penting berikutan perubahan iklim yang mengubah corak taburan hujan dan musim kemarau yang semakin panjang, sekali gus memberikan tekanan lebih besar kepada sistem penyimpanan air sedia ada.

Beliau berkata secara tradisi, empangan di Malaysia direka berdasarkan piawaian kejuruteraan British untuk menyimpan air bagi kira-kira 100 hari, selari dengan keadaan musim kemarau sebelum ini. 

“Bagaimanapun, sejak sedekad lepas tempoh kemarau semakin panjang kepada empat atau lima malah enam bulan. Ini bermakna kita tidak boleh lagi bergantung kepada piawaian lama,” katanya, menambah PAAB telah mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menyemak semula kriteria reka bentuk empangan bagi meningkatkan kapasiti simpanana air hingga ke enam bulan. 

Beliau berkata peningkatan kapasiti simpanan membolehkan lebih banyak air hujan dikumpul semasa musim tengkujuh, sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir serta memastikan rizab air yang mencukupi sekiranya berdepan tempoh kemarau yang berpanjangan. 

Walaupun pendekatan itu lebih praktikal untuk empangan baharu yang masih dalam peringkat perancangan, Jasni berkata beberapa empangan sedia ada juga boleh dinaik taraf dengan meningkatkan ketinggian atau kapasiti simpanan, misalnya Empangan Mengkuang di Pulau Pinang yang usaha peningkatan kapasiti telah dilaksanakan. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Forum Media PAAB 2026 di sini hari ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) seterusnya menyaksikan pelancaran logo ulang tahun ke-20 PAAB yang bakal disambut pada 5 Mei depan.

Forum tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Zulkiflee Omar, Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong serta 70 pengamal media dan perhubungan awam. 

PAAB yang ditubuhkan pada 2006 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air, merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan memainkan peranan penting dalam pembiayaan dan pembangunan aset infrastruktur air sebagai sebahagian agenda reformasi industri air kerajaan Persekutuan.

Di bawah rangka kerja reformasi itu, kuasa berkaitan bekalan air telah dipindahkan daripada kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan, dengan PAAB memajak aset air yang telah lengkap kepada pengendali air negeri melalui perjanjian jangka panjang manakala pengendali kekal bertanggungjawab terhadap rawatan dan pengagihan air.

Melangkah ke hadapan, Jaseni berkata industri perkhidmatan air negara memerlukan pelaburan sebanyak RM110 bilion dalam tempoh 50 tahun untuk mencapai kemampanan jangka panjang, selaras dengan Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara, meliputi pembinaan aset baharu, menaik taraf dan penggantian infrastruktur sedia ada.

Beliau berkata mandat PAAB termasuk usaha memudah cara akses kepada pembiayaan jangka panjang serta mengurangkan beban kewangan ke atas pengendali air, yang kebanyakannya berdepan kekangan aliran tunai berikutan keperluan perbelanjaan modal yang tinggi.

Jasni berkata usaha ini selaras dengan pelan hala tuju transformasi industri ke arah Pemulihan Kos Penuh menjelang 2050, yang bertujuan memastikan struktur tarif air dan operasi mencukupi untuk membiayai secara mampan operasi, penyelenggaran dan pelaburan masa depan.

Tambah beliau PAAB akan terus fokus kepada usaha peningkatan margin rizab air terawat, pengurangan kehilangan air tidak berhasil dan memperkukuh daya tahan sistem untuk menyokong perkhidmatan air yang boleh dipercayai dan mampan di seluruh negara.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan