EKONOMI

PLATFORM GLOBAL IKTIRAF GOBIND ANTARA 100 PEMIMPIN AI KERAJAAN TERBAIK DI DUNIA

21/01/2026 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Menteri Digital Gobind Singh Deo telah disenaraikan dalam “Apolitical”, platform dalam talian terbesar di dunia untuk kerajaan, atas usaha beliau dalam memacu agenda kecerdasan buatan (AI), 5G dan transformasi digital negara.

Gobind kini merupakan sebahagian daripada senarai '100 AI Kerajaan' terkini Apolitical yang menampilkan pemimpin dan pakar di seluruh dunia yang mencontohi inovasi dan impak dengan membentuk kerangka kerja tadbir urus AI dan penggunaan praktikal AI dalam sektor awam.

Senarai ini mengetengahkan Gobind sebagai berperanan penting dalam meletakkan AI sebagai tonggak teras pemodenan sektor awam Malaysia termasuk menubuhkan Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO). 

Beliau telah menyelia dasar asas dan inisiatif kawal selia yang membolehkan penggunaan AI dipercayai, seperti memperkukuh undang-undang keselamatan siber, memodenkan perlindungan data peribadi dan mencadangkan Rang Undang-Undang Perkongsian Data untuk menyokong penggunaan data yang bertanggungjawab merentasi agensi kerajaan.

Gobind dalam satu catatan Facebook merakamkan penghargaan kepada pasukannya di Kementerian Digital dan berkata mereka kekal komited untuk berusaha ke arah mengubah Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030.

“Tersenarai dalam senarai ‘The Government AI 100’ Apolitical, selain merupakan satu penghormatan, ia adalah pengiktirafan terhadap kerja keras semua orang di kementerian dan agensinya yang telah bersama-sama mempercepatkan transformasi digital Malaysia demi manfaat semua rakyat Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kementerian yang baru berusia dua tahun, dan pasukannya yang berdedikasi atas kerja keras mereka dalam membina asas digital kukuh untuk negara terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan.

“Masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memangkinkan lagi cita-cita bersama kita dalam era AI tetapi saya percaya kita sedang menuju ke arah landasan yang betul.Ketika kita melangkah ke hadapan, tumpuan kita kini beralih kepada memperkukuhkan usaha transformasi digital kita dengan memastikan kecerdasan buatan memberikan impak yang ketara dan boleh diukur kepada rakyat, perniagaan dan kerajaan yang akhirnya akan memberi manfaat kepada negara,” kata Gobind.

Individu lain dalam senarai 100 teratas adalah Michael Kratsios, penasihat sains dan teknologi kepada Presiden, Rumah Putih; Dr Fei-Fei Li, pengarah bersama Institut AI Berpusatkan Manusia, Stanford University di California; Doreen Bogdan-Martin, setiausaha agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU); Evelyn Grass, ketua bahagian AI, Kementerian Persekutuan untuk Hal Ehwal Ekonomi dan Tenaga, Jerman; dan Zhuang Rongwen, pengarah, Pentadbiran Ruang Siber, China.

Senarai awal calon dikumpulkan melalui penyelidikan dokumentasi serta pencalonan daripada rakan kerjasama pembelajaran Apolitical dan komuniti Apolitical yang lebih besar, merangkumi lebih 400,000 kakitangan awam.

Setiap calon dinilai dan dijaringkan berdasarkan sumbangan mereka kepada kategori yang disenaraikan di atas, pengaruh mereka terhadap tadbir urus, pelaksanaan dan penerimaan AI dan status mereka sebagai penjawat awam.

Senarai pendek itu telah melalui proses semakan secara bebas oleh tiga pakar AI luaran.

Apolitical ialah platform global ditubuhkan pada 2015 untuk membantu kerajaan bekerja dengan lebih baik, ia memperkasakan penjawat awam dengan membantu mereka belajar, berkongsi amalan terbaik dan menyelesaikan cabaran biasa.

Hari ini, Apolitical digunakan oleh lebih 250,000 penjawat awam yang disahkan di 170 negara dengan perkongsian yang meluaskan jangkauannya kepada jutaan lagi di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil menyifatkan Gobind sebagai pemimpin yang telah memberikan hala tuju dan konsistensi jelas dalam memajukan agenda digital dan AI Malaysia terutamanya dalam menyelaraskan cita-cita dasar dengan pelaksanaan merentasi kerajaan dan industri.

“Pengiktirafan oleh Apolitical mencerminkan kekuatan agenda transformasi digital Malaysia di bawah kepimpinan Gobind,” kata Anuar.

“Dengan menyediakan asas yang betul untuk penerimaan AI dipercayai dan pemodenan sektor awam digandingkan dengan perkongsian awam-swasta yang kukuh, Gobind telah mewujudkan keadaan untuk ekosistem bergerak maju dengan tujuan dan keyakinan.

“Kemajuan ini adalah hasil usaha kolektif, tadbir urus kukuh dan visi nasional yang jelas untuk Malaysia berkembang maju sebagai ekonomi digital dipacu AI,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan