AM

PM ANWAR TIBA DI PAHANG, MULAKAN LAWATAN KERJA DAN PROGRAM RAMAH MESRA DI BENTONG

22/01/2026 11:18 AM

BENTONG, 22 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja sehari di Pahang dengan agenda pertama menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri di Pejabat Daerah dan Tanah di sini. 

Ketibaan Anwar pada 10.05 pagi disambut Setiausaha Kerajaaan Negeri Datuk Seri Nazri Abu Bakar dan barisan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

Selepas taklimat, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Tionghua di  Dewan Utama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting sebelum ke Majlis Perjumpaan Bersama Warga Maahad di seluruh Bentong di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Perdana Menteri turut dijadualkan menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama pelajar Sekolah Agama Rakyat Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di KAFA Saidatina Aisyah di Taman Harmoni di sini, sebelum menghakhiri lawatan di Projek Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Karak. 

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan