AM

TEKUN NASIONAL ADAKAN TAKLIMAT PEMBIAYAAN, SANTUNI USAHAWAN DI SANDAKAN

22/01/2026 09:21 PM

SANDAKAN, 22 Jan (Bernama) --  Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional meneruskan komitmen memperkasa usahawan mikro dan kecil dengan mengadakan sesi turun padang menerusi Program Taklimat Pembiayaan di Kampung Tanjung Aru di sini hari ini.

Program yang berlangsung di Masjid Nurul Iman di sini bertujuan menyantuni usahawan setempat khususnya di kawasan pulau bagi mendapatkan pendedahan berkaitan skim pembiayaan dan inisiatif pembangunan yang ditawarkan agensi tersebut.

TEKUN Nasional dalam kenyataan memaklumkan program berkenaan menjadi platform penting untuk menyampaikan maklumat pembiayaan secara terus kepada komuniti usahawan luar bandar sekali gus memastikan akses pembiayaan yang lebih inklusif.

"Pendekatan turun padang ini mampu memperkukuh hubungan strategik bersama komuniti setempat serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan melalui pembangunan keusahawanan yang mampan," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, program itu dimulakan dengan sesi lawatan lapangan ke tiga premis usahawan tempatan iaitu Kedai Runcit Sahara Ahmad, perniagaan hasil laut kering Kong Lee Jin serta Kedai Runcit Yatimah Innuk.

Lawatan itu bertujuan menilai secara langsung perkembangan perniagaan usahawan serta memahami keperluan sokongan pembiayaan di peringkat akar umbi.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin serta Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang menyampaikan amanat kepada peserta.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan