AM

BANGUNAN BAHARU HSJ BUKTI KOMITMEN KERAJAAN PERKUKUH SISTEM PENJAGAAN KESIHATAN AWAM

24/01/2026 11:27 AM

BUTTERWORTH, 24 Jan (Bernama) -- Pembinaan bangunan baharu Hospital Seberang Jaya (HSJ) setinggi sembilan tingkat bernilai RM371 juta membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara, khususnya bagi penduduk Seberang Perai dan Pulau Pinang amnya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata HSJ dikategorikan sebagai Hospital Jenis 2, iaitu Hospital Pakar Major berfungsi sebagai Hospital Utama bagi Hospital Kluster Seberang Perai, yang merangkumi Hospital Bukit Mertajam (HBM), Hospital Kepala Batas (HKB) dan Hospital Sungai Bakap (HSB), selain menjadi pusat rujukan utama bagi perkhidmatan kesihatan di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan. 

Beliau berkata pembinaan bangunan baharu berkenaan mula beroperasi pada 5 Mei tahun lepas, dilengkapi dengan fasiliti moden merangkumi penambahan 316 katil baharu menjadikan keseluruhan 729 katil, enam dewan bedah tambahan, tujuh katil Unit Rawatan Rapi (ICU), serta 16 katil Cardiac Rehabilitation Ward, khusus bagi Perkhidmatan Kardiologi Kanak-Kanak.

“Bangunan baharu ini bukan sahaja menambah ruang rawatan, malah turut menyokong aliran perkhidmatan pesakit yang lebih terancang dan efisien, di samping menyediakan persekitaran kerja yang lebih selamat, selesa dan kondusif kepada warga hospital, selaras dengan usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

“Melalui penaiktarafan ini, penduduk Seberang Perai tidak perlu lagi mengharungi kesesakan di jambatan untuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) semata-mata bagi mendapatkan rawatan pakar. Fasiliti ini membawa perkhidmatan kepakaran lebih dekat kepada rakyat, merealisasikan prinsip closer-to-home,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu HSJ di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan bangunan berkenaan, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata hasil sokongan Kerajaan MADANI, Kementerian Kesihatan telah menerima dana pembangunan berjumlah RM191.8 juta tahun ini, khusus untuk Pulau Pinang.

Sehubungan dengan itu katanya, sebanyak RM16.6 juta sedang disalurkan segera bagi menaik taraf fasiliti kesihatan sedia ada, RM9.3 juta untuk membaiki klinik daif, serta membina Wellness Hub.

Selain itu, beliau berkata Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk melaksanakan Kajian Awalan Pembinaan Bangunan Baharu (Tambahan) Hospital Kepala Batas.

Dzulkefly berkata KKM juga sedang berunding dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan tanah atau tapak bersebelahan hospital sedia untuk tujuan pembangunan semula HSB, manakala perancangan membangunkan semula HBM turut sedang diteliti.

Beliau berkata KKM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) komited menyegerakan projek klinik yang telah diluluskan, antaranya Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Tasek Mutiara yang dijangka siap penghujung tahun ini serta pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Mak Mandin yang bermula pada Sept 2025 dan dijangka siap pada Sept 2028.

Selain itu, beliau berkata proses reka bentuk Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bayan Lepas turut disegerakan bagi membolehkan proses tender dimulakan secepat mungkin.

Dzulkefly berkata Perdana Menteri juga telah meluluskan pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Kubang Semang dan Kompleks Kesihatan Bersepadu Seberang Perai Tengah di bawah Belanjawan 2026 dengan kos keseluruhan RM94.6 juta.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan