AM

PROJEK PENYAMBUNGAN SARAWAK-SABAH "PENCETUS" GRID KUASA BORNEO, ASEAN - ABANG JO

24/01/2026 04:52 PM

KOTA KINABALU, 24 Jan (Bernama) -- Pengoperasian Penyambungan Grid Kuasa Sarawak-Sabah bukan sahaja pencapaian melibatkan dua pihak, malah berfungsi sebagai “pencetus” penting untuk memulakan Grid Borneo serta Grid Kuasa ASEAN secara lebih meluas.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sependapat bahawa penyambungan 275 kilovolt itu, yang mula beroperasi pada Disember 2025, berperanan sebagai model praktikal, yang memperlihatkan bagaimana inisiatif subnasional boleh memacu keselamatan bekalan kuasa serantau.

Abang Johari berkata walaupun pada masa ini tiada rangka kerja multilateral untuk kerjasama antara 11 negara anggota ASEAN, kejayaan dua pihak itu telah menjadi penggerak bagi integrasi tenaga serantau.

“Saya mencadangkan mereka melihat penyambungan bekalan kuasa Kesatuan Eropah … atau negara-negara Nordik yang membekalkan bekalan kuasa melalui kabel bawah laut.

“Anda tidak perlu mencipta semula, tetapi lihat kepada kerjasama di Eropah itu sebagai model untuk ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghidupan grid berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Abang Johari menjelaskan bahawa penyambungan Sarawak-Sabah itu digabungkan dengan sambungan sedia ada Sarawak dengan Kalimantan Barat serta perjanjian untuk membekalkan kuasa ke Brunei akan membentuk teras Grid Borneo.

“Apabila Sarawak dan Sabah bersambung, kini kita mempunyai  Penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak ini, yang menjadi pencetus, yang bermakna ia akan menjadi asas bagi Grid Borneo.

“Dan dengan adanya penyambungan antara Sabah-Sarawak ke selatan Filipina, dan kini kita telah bersetuju untuk membekalkan kuasa ke Singapura, ini bermakna Grid ASEAN akan bersambung di situ, bersama grid kuasa dari Laos yang melalui Terengganu ke Singapura,” katanya. 

Untuk menyokong visi itu, Abang Johari berkata Sarawak sedang giat memperluas kapasiti penjanaannya, dengan pembangunan baharu di Miri dan Bintulu, yang akan menyumbang kepada pencapaian kapasiti terpasang sebanyak 10 gigawatt (GW) pada 2030.

Sementara itu, Hajiji menggambarkan projek berkenaan sebagai langkah penting ke arah merealisasikan visi bersama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Sebagai gerbang masuk utama Malaysia ke BIMP-EAGA, Sabah memainkan peranan strategik dalam menyatukan semua sistem kuasa baharu.

“Ini bukan sahaja membuka potensi perdagangan tenaga rentas sempadan, malah mewujudkan rangka kerja untuk mengintegrasikan pasaran tenaga serantau yang cekap dan lestari,” kata Hajiji.

Beliau berkata grid berkenaan merintis laluan bagi pautan kuasa masa hadapan dengan Kalimantan, Brunei, dan selatan Filipina, menjadikan Sabah sebagai pemain utama dalam landskap tenaga serantau.

Daripada aspek domestik, Hajiji berkata Kerajaan Negeri Sabah, berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), yang menumpukan kepada campuran tenaga yang pelbagai termasuk gas, hidroelektrik, solar, dan angin, serta sistem penyimpanan tenaga bateri bagi menangani peningkatan permintaan. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan