DUNIA

PENGUNDI THAILAND DI MALAYSIA TUNAI TANGGUNGJAWAB SEMPENA PRU, REFERENDUM 8 FEB

24/01/2026 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Warga Thailand di Malaysia digesa menunaikan tanggungjawab mereka dengan mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) dan referendum perlembagaan kebangsaan bagi memperkukuh amalan demokrasi di negara itu.

Duta Besar Thailand ke Malaysia Lada Phumas berkata proses pengundian luar negara bertujuan meningkatkan hak sivil dan politik warga Thailand di luar negara, sambil memaklumkan bahawa seramai 3,957 pengundi telah mendaftar untuk mengundi di Malaysia, dengan 2,814 lagi berdaftar untuk referendum, menjelang PRU Thailand pada 8 Februari ini.

“Kami telah mengadakan satu unit undi bergerak di Johor Bahru pada Rabu lalu, manakala pengundian di lokasi berlangsung hari ini dan esok di Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur dan Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Pulau Pinang, serta pada Jumaat dan hari ini di Kota Bharu, Kelantan.

“Selain itu, unit undi bergerak akan dikerahkan ke Sarawak dan Sabah pada 27 dan 29 Januari. Ini bagi memudahkan warga Thailand yang tidak dapat mengundi di lokasi yang ditetapkan. Kami akan terus memberikan layanan terbaik dan menyambut kehadiran semua sambil mempercepatkan giliran bagi memastikan proses yang lancar dan cepat. Kami akan melakukan yang terbaik hari ini dan esok,” kata Lada kepada Bernama ketika ditemui pada hari pengundian awal bagi pengundi luar negara di Kedutaan Diraja Thailand dari 9 pagi hingga 6 petang di sini, pada Sabtu.

Mengulas mengenai proses pengundian, Menteri Kaunselor Adittha Buakhamsi berkata PRU itu akan memilih Dewan Perwakilan Thailand yang terdiri daripada 500 anggota, dengan 100 dipilih melalui sistem senarai parti dan 400 lagi daripada kawasan pilihan raya.

“Pengundi akan menerima dua jenis kertas undi - satu untuk senarai parti dan satu lagi untuk kawasan pilihan raya. Selain pilihan raya, terdapat juga proses referendum.

“Kami berharap proses ini akan berjalan lancar dan kami menggalakkan warganegara Thailand yang layak supaya datang menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pengundi muda Suchada Islam yang juga dikenali sebagai Sarah, 26, berkata beliau hadir ke Kedutaan Diraja Thailand pada Sabtu untuk mengundi, dengan harapan melihat masa depan yang lebih baik untuk negaranya.

“Walaupun ia hanya satu undi, saya berharap ia dapat membawa perubahan positif, pembangunan lebih baik dan lebih banyak peluang untuk rakyat Thailand,” kata warga Thailand yang bekerja sebagai moderator kandungan di Kuala Lumpur itu sambil menyuarakan harapan agar kerajaan baharu nanti memimpin negara ke arah masa depan yang lebih baik.

Seorang lagi pengundi muda, Nida Kebbenmud, 29, dari Hat Yai, Thailand, yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Kurikulum dan Pengajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata ini merupakan kali pertama beliau mengundi di Malaysia selepas menetap di negara ini selama dua tahun.

“Sudah tentu kami memikirkan tentang generasi akan datang. Kami mahu Thailand menjadi lebih maju berbanding sekarang, sama ada dari segi ekonomi, pendidikan dan aspek lain. Walaupun kami berada di luar negara, rakyat Thailand di mana-mana sahaja tetap perlu menggunakan hak untuk memilih pemimpin yang kami mahukan demi masa depan negara,”katanya.

Selain itu, seorang warga Selatan Thailand yang kini bekerja sebagai, pegawai khidmat pelanggan di Bangsar Nur Asyikin, 27, turut mengharapkan agar kerajaan yang dibentuk nanti dapat membawa perubahan dan kebaikan buat rakyat Pattani dan rakyat Thailand secara keseluruhannya.

Bagi pengundi warga emas, Somporn Rattasombun, yang mesra disapa Mok Nab, 90, dan pertama kali membuang undi di Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur, beliau gembira dan bangga dapat melaksanakan tanggungjawabnya sambil menggesa warga Thailand lain untuk turut melaksanakan hak dan kewajipan mereka.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand, seramai 139,535 warganegara Thailand di seluruh dunia telah mendaftar sebagai pengundi luar negara bagi PRU dan 95,666 untuk referendum.

Pilihan raya 2026 diadakan selepas pembubaran Dewan Perwakilan pada akhir tahun lalu, manakala referendum bertujuan menilai konsensus awam mengenai penggubalan perlembagaan baharu.

Ini merupakan referendum perlembagaan ketiga bagi Thailand, selepas yang pertama pada 2007 dan kedua pada 2016.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan