AM

POLYCC PERKUKUH PERANCANGAN PENDIDIKAN INKLUSIF GOLONGAN OKU

26/01/2026 06:18 PM

JASIN, 26 Jan (Bernama) -- Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) memperkukuh perancangan jangka panjang bagi memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) mendapat akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan sistematik selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Shamsuri Abdullah berkata komitmen itu diterjemahkan melalui pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan OKU hari ini, sebagai satu kerangka strategik bagi memperkasakan keterangkuman Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi berkenaan.

"Pelan ini menyediakan satu dasar dan garis panduan menyeluruh merangkumi aspek penyediaan kurikulum, pembangunan program baharu dan sedia ada serta penambahbaikan infrastruktur bagi menyokong keperluan pelajar OKU di politeknik dan kolej komuniti.

“Pelan ini menjadi kerangka perancangan untuk mengupayakan pelajar OKU di POLYCC, termasuk daripada sudut sokongan akademik dan persekitaran pembelajaran yang kondusif,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK) 2026 di Politeknik Merlimau Melaka (PMM) di sini hari ini.

Shamsuri berkata menerusi pelan berkenaan, POLYCC akan meneroka penawaran program yang lebih luas, termasuk kepada pelajar kurang upaya penglihatan, agar peluang pendidikan dapat diperluas secara lebih seimbang kepada golongan tersebut.

Beliau berkata berdasarkan data, antara 300 hingga 400 pelajar daripada golongan itu direkodkan bagi setiap sesi pengambilan baharu baharu di POLYCC, merangkumi tujuh kategori OKU termasuk masalah pembelajaran dan kurang pendengaran.

Katanya, terdapat lima politeknik menawarkan Program Pendidikan Eksklusif Pelajar Orang Kurang Upaya (PPEP OKU) iaitu Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Politeknik Kota Kinabalu (PKK).

"Pelbagai kursus khas mengikut bidang kemahiran tertentu ditawarkan seperti Sijil Khas Operasi Katering, Sijil Khas Penyelenggaraan Mekanikal, Sijil Khas Reka Bentuk Grafik, Sijil Khas Reka Bentuk Fesyen dan Sijil Khas Pembinaan.

"Turut ditawarkan PPEP OKU ini di kolej komuniti seperti Kolej Komuniti Gerik, Kolej Komuniti Chenderoh, Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Kolej Komuniti Selayang, Kolej Komuniti Bayan Baru dan sebagainya dengan pelbagai bidang," katanya.

Selain itu, Shamsuri berkata POLYCC menyasarkan melahirkan lebih satu juta graduan menjelang tahun depan sebagai usaha menterjemahkan peranannya dalam menyediakan graduan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja serta menyokong pembangunan negara maju.

Beliau berkata sasaran itu disokong melalui kebolehpasaran graduan yang tinggi hasil kerjasama erat dengan industri dan penawaran program berasaskan keperluan semasa.

Sementara itu, beliau berkata program Ijazah Sarjana Muda berasaskan Work-Based Learning (WBL) bakal ditawarkan di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dengan tumpuan kepada bidang Elektrik dan Elektronik (E&E) bagi memenuhi keperluan sektor industri di wilayah utara.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan