AM

BANTUAN ASNAF, PEROLEHAN TANAH PATUHI SYARAK - MAINPP

26/01/2026 05:39 PM

GEORGE TOWN, 26 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memaklumkan bantuan khas untuk menyelesaikan pinjaman perumahan seorang asnaf dan perolehan tanah dibuat mengikut prosedur, mematuhi syarak serta sah dari segi undang-undang. 

Setiausaha MAINPP Datuk Rosidi Hussain berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka menyebarkan fitnah ke atas MAINPP dan Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid demi menjaga institusi Islam serta maslahah ummah di negeri itu.

Beliau berkata bantuan khas berjumlah RM178,368 bagi menyelesaikan baki pinjaman perumahan seorang asnaf miskin yang berdepan masalah kesihatan kritikal dan tanggungan keluarga berat, selaras dengan prinsip maqasid syariah.

“Bantuan itu diluluskan menerusi proses tatakelola yang ketat melibatkan Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan dan Fasiliti Zakat serta Mesyuarat Lembaga Pengarah Zakat MAINPP yang dihadiri 14 ahli termasuk mufti.

“Keputusan dibuat secara kolektif dan telus dengan bayaran disalurkan terus ke akaun pembiayaan perumahan atas nama isteri arwah bagi menjamin kelangsungan tempat tinggal keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Berhubung isu perolehan tanah, Rosidi berkata cadangan penjualan tanah itu bermula sejak Januari 2021 dan telah melalui beberapa peringkat siasatan, penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta penelitian jawatankuasa berkaitan.

”Tanah Lot 240, 264 dan 265 di Mukim 3, Seberang Perai Selatan seluas 14.6918 ekar (kira-kira 5.94 hektar) dengan nilai RM9.86 juta diperoleh menggunakan dana wang tawaquf bagi tujuan memperkukuh pemilikan tanah umat Islam serta pembangunan manfaat kepada golongan asnaf,” katanya.

Beliau berkata transaksi itu dilaksanakan secara telus, tidak melebihi nilai pasaran semasa dan mematuhi pandangan fatwa yang membenarkan penggunaan wang tawaquf bagi pembangunan asnaf.

Rosidi berkata semua fakta berhubung isu itu direkodkan secara rasmi dalam hansard Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang melalui penjelasan Dr Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I negeri pada persidangan November tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan