AM

PERSEMPADANAN DARAT MALAYSIA–INDONESIA MASIH DALAM RUNDINGAN

26/01/2026 07:50 PM

SEREMBAN, 26 Jan (Bernama) -- Persempadanan darat antara Malaysia dengan Indonesia masih dalam rundingan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata perbincangan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang, dan keputusan muktamad masih belum dicapai.

“Rundingan masih lagi dilakukan. Kawasan-kawasan itu di atas peta dan under the ground, ia berbeza. Perbincangan mengikut undang-undang, tetapi belum diputuskan.

"Kita akan suruh jawatankuasa teknikal dan juga juruukur kita buat … tetapi, pengakhir cerita nanti pemimpin-pemimpin negara akan ada persetujuan, pemahaman tentang cara untuk diputuskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menyangkal laporan media mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan.

Perdana Menteri berkata Malaysia akan berunding secara baik berhubung isu pampasan tanah tersebut dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, media melaporkan tiga desa di Nunukan, Kalimantan Utara didakwa beralih ke Malaysia, namun pertikaian sempadan di kawasan Pulau Sebatik masih belum diselesaikan, sementara Indonesia dilaporkan memperoleh tambahan kawasan seluas 5,207 hektar dari Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut melaporkan rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan Isu Sempadan Tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni antara kedua-dua negara dan tidak bersandarkan prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.

Pemuktamadan pengukuran sempadan darat itu dibuat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman antara kedua-dua negara pada 18 Feb 2025 selepas melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan